HIBURAN

Anak-Anak Anggota Nasyid Rabbani Dilantik Ikon Kursus Mutawwif, Auto Dapat Tempahan Satu Bas! - "Aeydan Muda, Ada Wajah-Wajah ..."

Amri Hassan 04/07/2025 | 13:50 MYT
Kumpulan nasyid muda, Aeydan, secara rasmi diumumkan sebagai Ikon Kursus Mutawwif bagi Mahabbah Mutawwif Masterclass (MMM), satu langkah strategik daripada pihak penganjur dalam menarik minat generasi muda menyertai bidang ini dengan pendekatan yang lebih segar dan mendalam dari segi rohani.

Menurut pemilik Syarikat Pelancongan The Mahabbah, Qamarulnasri Damni, pemilihan Aeydan adalah berdasarkan kelebihan mereka yang sudah terbiasa tampil di khalayak ramai.

“Banyak kelebihannya kami pilih Aeydan jadi Ikon Mutawwif kerana kami ingin menarik lebih ramai golongan muda untuk menjadi mutawwif. Kami pilih Aeydan kerana mereka sudah biasa buat persembahan di khalayak ramai… jadi percakapan mereka cukup teratur.

"Iyalah nak jadi seorang mutawwif kena jaga percakapan dan beradab. Bukan itu saja, wajah-wajah mereka juga sudah melambangkan wajah seorang mutawwif," katanya.




Qamarulnasri turut mendedahkan sambutan hangat sejurus pengumuman dibuat.

“Baru saja umum nak ambik Aeydan sebagai ikon mutawwif kami dah ada tempahan satu bas seramai 40 orang inginkan Aeydan sebagai mutawwif mereka. Pemergian kami nanti sebanyak dua bas adalah latihan akhir untuk Aeydan dan peserta kursus lain yang akan menjalani latihan praktikal di Mekah dan Madinah pada 6 hingga 16 November nanti.

“Kami tertarik dengan Aeydan sebab mereka muda dan kumpulan lelaki. Malah muka mereka memang ada muka-muka seorang mutawwif. Selain menyanyi mereka juga mempunyai aura.

"Macam mutawwif lain hanya bercerita mengenai sirah, sedangkan Aeydan nanti mereka boleh menyanyi, qasidah, selawat dan zikir sepanjang perjalanan,” tambah Qamarulnasri.



MMM bukan sekadar kursus teknikal ibadah semata-mata, malah ia memfokus kepada pembangunan rohani, akhlak, dan kesantunan peribadi mutawwif. Ini bagi memastikan pengalaman jemaah bukan sekadar ibadah fizikal, tetapi juga perjalanan rohani yang menyentuh hati.

“Ramai yang pergi, tetapi tidak semua pulang dengan perubahan. Di sinilah letaknya peranan besar seorang mutawwif,” ujarnya lagi.

Dengan pendekatan yang inklusif dan segar ini, Mahabbah berharap kehadiran ikon muda seperti Aeydan mampu menyuntik inspirasi kepada generasi pelapis dan melahirkan mutawwif yang benar-benar memahami keperluan pelbagai latar belakang jemaah masa kini.




Aeydan, kumpulan nasyid beranggotakan lima anak muda iaitu Ilham, Izwan, Farhan, Haikal dan Fardeen tampil dengan misi baharu sebagai duta mutawwif.

Lebih istimewa, kesemua ahli merupakan anak kepada anggota kumpulan nasyid terkenal Rabbani, dengan vokalis utama, Muhammad Ilham Fikri, merupakan anak kepada Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim.

Menamakan kumpulan mereka dengan inspirasi daripada perkataan Eden, Aeydan membawa maksud "tempat yang indah", sekaligus mencerminkan aspirasi rohani yang mendalam dalam perjuangan seni mereka.

"Kami terima dengan hati yang sebak dan penuh syukur. Kami berlima benar-benar sebak dan terkedu bila mendapat pelawaan ini. Tak sangka kami diberi peluang dan kepercayaan besar sebegini, mengikuti jejak langkah kumpulan Rabbani yang kami kagumi," ujar Ilham mewakili Aeydan.

Mereka akan menyertai misi sulung sebagai mutawwif pada 6 hingga 16 November, dan menganggap pengalaman itu sebagai fasa baharu dalam hidup dan karier mereka.

“Niat kami satu, kami nak beri manfaat kepada orang lain. Apabila ada yang beri kepercayaan, kami akan berusaha bersungguh-sungguh," tambahnya.

Sejak ditubuhkan pada 2021, Aeydan tampil dengan genre world music yang diinspirasikan oleh elemen kerohanian dan moden, membawa nafas baharu dalam dunia nasyid tempatan.
Selepas kejayaan lagu sulung “Bintang”, mereka baru sahaja melancarkan single kedua “Purnama” ciptaan Hafiz Hamidun dengan lirik oleh Ito Lara, yang memfokuskan cinta mendalam kepada Rasulullah SAW.

“Kami juga tengah merancang untuk menerbitkan zikir, selawat, dan lagu-lagu berunsur spiritual dengan pendekatan moden, termasuk kemungkinan menerbitkan lagu rap bertemakan mahabbah," kongsinya.

Mereka kini memberi fokus lebih kepada misi dakwah, termasuk mempelajari lebih lanjut peranan mutawwif daripada generasi terdahulu.

“Dulu zaman Rabbani, mereka pernah tolak tawaran persembahan demi memberi fokus kepada kerja kebaikan. Kami terinspirasi dari semangat itu," tambahnya.
#Penyanyi #Anak #Rabbani #Nasyid #Mutawwif #Aeydan