Hiburan
Anak-Anak Teruja Nina Juren Berlakon Teater Dia Semanis Honey
Pelakon Datin Nina Juren mendedahkan anak-anaknya teruja apabila dirinya bakal beraksi dalam teater muzikal Dia Semanis Honey yang bakal dipentaskan di Istana Budaya tidak lama lagi.
“Ini merupakan pengalaman pertama saya untuk beraksi di pentas teater. Apabila anak-anak saya mengetahui yang drama bersiri Dia Semanis Honey bakal dipentaskan sebagai teater muzikal, mereka sangat teruja.
“Mereka memberikan sokongan kepada saya dan tidak sabar untuk menantikan saya beraksi di pentas teater. Mereka juga mengatakan yang mereka mahu melihat saya menyanyi di atas pentas,” kata Nina kepada Astro Gempak.
Mengakui dirinya agak gemuruh untuk beraksi di pentas teater, Nina atau nama sebenarnya Haznina Juren Haniff mengambil inisiatif untuk menggandakan usaha dalam latihan bagi memperkemaskan kemunculan sulungnya.
“Sudah namanya pun pengalaman pertama, semestinya saya rasa sangat berdebar. Jika sebelum ini, saya sering berlakon drama, saya mengakui situasinya tidak sama dengan berlakon teater.
“Jika dalam drama, kalau kesilapan terjadi, sutradara boleh mengarahkan untuk penggambaran dihentikan dan boleh dirakam sekali lagi, namun di pentas teater kelak, semuanya harus berjalan secara langsung.
“Saya juga mahu memberikan yang terbaik dalam teater kali ini. Saya meletakkan lebih usaha untuk mempersiapkan diri ke pentas teater agar dapat memberikan persembahan terbaik,” katanya ketika ditemui di pelancaran koleksi fesyen 2017 rekaan Rico Rinaldi baru-baru ini.
Selain Nina, teater ini bakal menampilkan Alif Satar, Siti Nordiana, Nadya Syahera dan ramai lagi. Teater muzikal ini bakal diarahkan oleh aktres yang kini bergelar sutradara, Dira Abu Zahar.
Teks oleh: Kamaruddin Razal