Anda Bukan Peminat Setia Datuk Seri Siti Nurhaliza Kalau Tidak Tahu Lagu-Lagu Ini

Amri Hassan
Januari 11, 2018 04:39 MYT
Tanggal 11 Januari menjadi tarikh yang pasti diraikan oleh peminat setia Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Tarikh itu merupakan ulangtahun kelahiran penyanyi yang diangkat mustika hati nusantara serta penyanyi nombor satu Malaysia.
Sempena meraikan hari jadi Datuk Seri Siti Nurhaliza ke-39 tahun ini, kami senaraikan 10 lagu malar segar terbaik yang pastinya menjadi siulan hingga kini.
1. Kau Kekasihku
Antara judul lagu yang mengangkat nama DS Siti Nurhaliza dan menjulang kariernya sekitar 20 tahun lalu. Memang ikonik!
2. Jerat Percintaan
Lagu Terbaik Anugerah Industri Muzik 1997 dan menjadi single sulung DS Siti Nurhaliza. Pasti anda akan mengimbau semula medley Konsert Unplugged Siti Nurhaliza 2015 bukan? Power habis!
3. Purnama Merindu
Lagu wajib menghiasi ruang karaoke, lagu Purnama Merindu dimuatkan dalam album keempat Siti, Adiwarna (1998). Purnama Merindu pernah memenangi Shanghai Music Festival di China dan Grand Prix Winner dalam Voice of Asia di Kazakhstan.
4. Wajah Kekasih
Balada terbaik yang pernah dimiliki oleh DS Siti Nurhaliza hingga kini. Wajah Kekasih memonopoli kebanyakan carta lagu sekitar lewat 1990-an namun lagu ini tidak pernah memenangi sebarang anugerah.
5. Cindai
Cindai membuka lembaran genre muzik irama Malaysia dan etnik kreatif. Juara Lagu AJL 1998 itu pernah melakar sejarah menerusi persembahan penutup Sukan Komanwel 1998 di Stadium Negara, Bukit Jalil.
6. Bicara Manis Menghiris Kalbu
Bagi yang membesar pada era 1990-an pastinya muzik video Bicara Manis Menghiris Kalbu paling kerap ditayangkan di kaca televisyen.
7. Kesilapanku Keegoanmu
Lagu yang jarang dipersembahkan Siti secara live namun percubaannya mengimbau semula Kesilapanku Keegoanmu menerusi konsert Where The Heart Is tiga tahun lalu berhasil mempopularkan kembali lagu itu.
8. Cuba Untuk Mengerti
Transkripsi (2006) boleh disifatkan album cukup sifat. Cuba Untuk Mengerti mungkin tidak sepopular Biarlah Rahsia, Pastikan, Destinasi Cinta atau Siti Situ Sana Sini, namun lagu ini juga antara yang popular hingga kini.
9. Seribu Kemanisan
Siapa boleh lupakan muzik video yang dirakamkan di Phuket, Thailand sekitar tahun 1999. Jika anda perhatikan, nukilan lirik lagu ini juga sangat puitis!
10. Segala Perasaan
Dimuatkan dalam album terbaharu Simetri Siti, Segala Perasaan diangkat sebagai single pertama dan menampilkan Siti dalam karakter adiwira untuk muzik video lagu itu.
Teks oleh: Amri Hassan
#Lagu #Datuk Seri siti Nurhaliza #Cindai