Hiburan
Anda Sudah Bersedia? Nyalakan Lampu Biru Bermula Malam Ini Sebagai Tanda Hargai Petugas Frontliner!
Sebagai menghargai jasa petugas barisan hadapan yang berkhidmat menangani wabak Covid-19, Wilayah Persekutuan akan diterangi dengan lampu biru bermula hari ini hingga 3 Mei.
Perkara itu diumumkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menerusi satu kenyataan rasmi semalam.
Menurut Annuar, program tersebut dikenali Light It Blue atau Limpahan Lampu Biru dan akan diadakan bermula jam 10.30 malam hingga 1 pagi.
"Tujuan utama program ini adalah sebagai tanda ucapan terima kasih terhadap pengorbanan, kecekalan, kesungguhan, jasa dan keringat pasukan barisan hadapan yang bertugas tanpa sempadan memerangi wabak Covid-19 untuk rakyat Malaysia.
“Ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan menzahirkan tanda penghargaan dan solidariti kepada semua petugas barisan hadapan,” katanya.
Menurutnya lagi, pelaksanaan program Light It Blue ini melibatkan bangunan ikonik dan jalan-jalan protokol di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
“Warna biru dipilih adalah kerana ia adalah warna rasmi bidang perubatan yang membawa maksud kredibiliti, pengetahuan, kepercayaan dan fokus.
"Sebanyak 35 buah bangunan dan kawasan terpilih dinyalakan dengan lampu biru ini sebagai simbolik penghargaan seluruh rakyat Malaysia.
"Orang ramai juga digalakkan untuk memasang lampu biru di kediaman masing-masing tetapi bukan satu kewajiban memandangkan semua pihak perlu mematuhi arahan semasa PKP.
"Orang ramai boleh berkongsi kreativiti mereka di laman sosial menggunakan hashtag #LightItBlueWP dan #LimpahanLampuBiruWP," katanya.
Sumber: Sinar Harian