Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

"Andai Zulfarhan Masih Hidup, Saya Nak Minta Maaf" - Bebas Tuduhan Bunuh, Akmal Akhirnya Bersuara

Amri Hassan
05/08/2019 06:14 MYT
"Seandainya Zulfarhan masih hidup, saya nak minta maaf kerana gagal selamatkan dia," itu luahan seorang penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Muhammad Akmal Akif Alias, 23, selepas dilepas dan dibebaskan Mahkamah Tinggi di sini daripada pertuduhan bersubahat dan membunuh Pegawai Kadet Laut, Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Muhammad Akmal Akif berkata, dia juga menzahirkan rasa kesal kerana gagal untuk membantu dan menyelamatkannya pada ketika itu.

“Tapi saya sentiasa doakan dia. Kalau kita doakan dia di sana, saya percaya dia akan bantu kita dekat sini, Insya-Allah,” katanya memetik laporan eksklusif portal berita MStar.

Sementara itu, Muhammad Akmal Akif memberitahu, tempoh dua tahun yang dilaluinya selepas berdepan dengan kes bunuh itu nyata menjadi igauan ngeri dalam hidupnya.

Selain membuang gambar-gambar di media sosial, dedah Akmal dia terpaksa berbohong mengenai universitinya.

"Kalau jumpa sesiapa yang tidak kenal saya, saya akan berbohong yang saya belajar di tempat lain. Kalau sebut UPNM mesti mereka akan tanya pasal kes itu," kata Akmal.

Akmal masih diselubungi perasaan takut untuk berdepan dengan masyarakat berikutan tangkapan negatif terhadapnya biarpun sudah dibebas dan dilepaskan daripada tuduhan tersebut.

“Bagi saya tempoh dua tahun ini memang sukar walaupun saya tidak bersalah, tetapi selagi saya dikategorikan sebagai orang kena tuduh (OKT) ia bukanlah sesuatu yang mudah dan apa yang terjadi memberi kesan kepada saya dan keluarga.

“Pelbagai kecaman dilemparkan, malah ada segelintir masyarakat memandang serong serta mempertikaikan keputusan mahkamah yang membebaskan saya sehingga saya berasa takut untuk berjumpa dengan orang luar.

"Buat masa sekarang saya hanya berhubung dengan keluarga dan rakan-rakan rapat sahaja,” katanya.

Rabu lalu, Mahkamah Tinggi di sini memutuskan untuk melepaskan dan membebaskan Muhammad Akmal Akif Alias daripada pertuduhan mencederakan mangsa.

BACA: Enam Penuntut UPNM Didakwa Bunuh Zulfarhan, Bakal Berdepan Hukuman Mati

BACA: Pembuli Zulfarhan Disiasat Di Bawah Seksyen 302, Hukuman Gantung Sampai Mati Jika Sabit Kesalahan

BACA: Orang Suruh Jadi Perwira Negara, Kau Jadi Pembuli! - Netizen Mahu Pembuli Dihukum


Sementara itu, Hakim Datuk Azman Abdullah menetapkan untuk memanggil enam penuntut universiti tersebut untuk membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap kesemua tertuduh.

Enam penuntut tersebut ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd. Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd. Ali.

Turut dipanggil membela diri ialah 12 penuntut universiti sama yang didakwa mencederakan mangsa.

Sumber: MStar

#Viral #Viral #Buli #Zulfarhan Osman Zulkarnain
;