Andi Bernadee Mohon Peminat Berhati-Hati – “Saya Hanya Ada Satu Akaun Rasmi Instagram…”

Pelakon dan penyanyi Andi Bernadee mengigatkan pengguna laman sosial Instagram (IG) agar tidak terpedaya dengan akaun palsu menggunakan namanya.

Andi ketika dihubungi Gempak berkata, dia hanya menyedari mengenai perkara tersebut setelah diberitahu rakan-rakan dan pengikut IGnya.

“Terkejut juga saya, individu tersebut menggunakan nama, foto dan video-video saya dan perkara tersebut menyebabkan rakan-rakan dan pengikut keliru.

“Mereka kemudiannya menghantar mesej peribadi (DM) di IG bertanya kalau-kalau saya ada membuka satu lagi akaun baru,” katanya.

Tambah Andi lagi, dia tidak pernah membuka akaun baru sebagai ‘back-up’ dan meminta agar semua berhati-hati sekiranya ada permintaan menambah rakan daripadanya.

“Berhati-hatilah sekiranya ada permintaan daripada pemilik akaun‘Andi Bernadee’ palsu kerana saya bimbang sekiranya individu tersebut mengambil kesempatan terhadap anda semua.

“Setakat ini belum ada apa-apa yang tidak diingini berlaku, cuma saya mohon agar anda semua tidak terpedaya. Akaun rasmi ‘Andi Bernadee’ mempunyai tanda ‘verified’,” katanya.

Ditanya mengenai keadaan terkininya, Andi berkata dia masih menjalani rawatan alternatif bersama seorang ustaz.

“Alhamdulillah, saya sihat-sihat sahaja dan rasanya bertambah baik berbanding sebelum ini. Terima kasih di atas ingatan dan doa semua,” katanya.