Salah seorang aktor Korea Selatan, Ma Dong Seok melakar sejarah apabila terbabit dalam filem Marvel Studio, Eternals.

Menerusi sidang media secara virtual yang diadakan baru baru ini, Dong Seok berkongsi pengalaman terbabit dalam filem yang akan menemui peminatnya pada awal November depan.

“Terbabit dalam naskhah ini adalah sebuah penghormatan untuk saya. Ia adalah sebuah pengalaman yang sangat mengujakan,” ujar Dong Seok yang tidak menjalani sesi ujibakat seperti dilaporkan Soompi.

Memegang karakter superhero Gilgamesh, Dong Seok juga berkongsi keterujaannya terbabit dalam Eternals yang turut dibintangi para pesohor Hollywood.

Ini termasuklah Angelina Jolie dan Salma Hayek. Mengaku hanya beberapa kali bertemu para bintang lain sebelum memulakan penggambaran, namun hubungan mereka menjadi akrab sebaik semua bersatu sepanjang naskhah tersebut digarap.

Dong Seok kemudian menyifatkan Hayek sebagai seorang bintang yang merendah diri dan seperti kakak sulung yang menjaga mereka semua.

“Jolie pula seorang aktres yang sangat bersemangat. Dia merupakan pelakon yang hebat dan individu yang baik.

“Dia selalu bertolak ansur dan membuat rakan pelakonnya selesa saat berganding dengannya,” kata Dong Seok.

Aktor yang menjadi rebutan selepas membintangi Train To Busan ini juga mengambarkan hubungannya dengan Jolie tidak ubah sebagai rakan lama, biar baru bertemu.

“Jolie adalah seorang global superstar, tapi sikap beliau yang sederhana menjadikan kami seperti kawan yang sudah lama kenal. Padahal ini pertama kali kami bertemu dan berganding dalam sebuah filem,” tambahnya lagi.

Bintang berusia 50 tahun itu juga mengaku teruja kerana Jolie memberitahu telah menonton lakonannya dan menjadi salah seorang peminatnya.

Tanpa disangka, Jolie kemudian muncul secara mengejut dalam sidang media virtual tersebut.

Dengan rendah diri, beliau mengungkapkan: “Bekerja dengan Dong Seok seperti mimpi. Saya sudah lama menjadi peminatnya dan berlakon bersama adalah sebuah pengalaman yang hebat.”

Eternals diarahkan oleh Chloe Zhao. Ia dijadualkan tayang di seluruh dunia bermula 5 November 2021.

Kredit Foto: Soompi