HIBURAN

Anggaran Rugi RM630,000, Kak Ani Buat Laporan Polis Dakwa Dianiaya

Amri Hassan 04/03/2025 | 03:22 MYT
Ratu etnik kreatif dan irama tradisional, Noraniza Idris, 57, tampil membuat laporan polis selepas mendakwa perniagaan muruku miliknya, Che Ani Premium, dianiaya oleh sebuah akademi latihan keusahawanan sehingga mengalami kerugian sebanyak RM630,000.
Menurut Noraniza atau lebih dikenali sebagai Kak Ani, dia mula menyedari seakan ditipu apabila akademi terbabit tidak membuat sebarang pembayaran selepas mengambil produknya selama lebih sebulan, dianggarkan berjumlah 20,000 pek.
“Saya terima pelawaan mereka kerana ingin membantu. Lagipun, saya memang sentiasa menyokong aktiviti amal kebajikan.
“Bagaimanapun, niat baik saya dipermainkan apabila pihak terbabit melanggar perjanjian dengan hanya membayar sekitar RM3,000 sahaja. Itu pun secara berperingkat.
“Sejak menyedari diri ditipu sejak Jun tahun lalu, saya sering menuntut bayaran daripada mereka. Namun, sehingga kini pelbagai alasan diberikan, menyebabkan nilai kerugian yang saya tanggung mencecah RM630,000.
“Kerugian tersebut merangkumi mesin khas pembuatan muruku, percetakan, pembungkusan yang tertera logo syarikat mereka serta kos pembayaran pekerja,” katanya kepada Gempak.
Kak Ani ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, pada Selasa, bersama anak keduanya, Fee Haiqal, 32.
Susulan penganiayaan itu, Noraniza berkata dia terpaksa merehatkan lebih 10 pekerja kerana tidak mampu membayar gaji mereka.
“Bagi memenuhi permintaan syarikat terbabit, saya perlu menambah kakitangan. Namun, selepas perkara ini berlaku, daripada 20 pekerja, kini hanya tinggal empat orang sahaja.
“Saya tak boleh tutup perniagaan ini sebab ini adalah bisnes keluarga. Jadi, mahu atau tidak, saya terpaksa teruskan kerana kami masih lagi menerima permintaan secara dalam talian,” jelasnya.
Selain itu, Noraniza meluahkan rasa kesal kerana kejadian tersebut turut memberi kesan emosi kepada anak-anaknya serta keluarganya, lebih-lebih lagi mengenangkan usaha membangunkan syarikat ini telah dilakukan sejak setahun lalu.
“Apabila keadaan ini berlaku, saya kasihan melihat anak-anak saya. Mereka sanggup tak tidur dan berjaga malam untuk memastikan kilang ini dapat terus beroperasi.
“Saya nekad membuat laporan polis supaya sekurang-kurangnya kami dapat hak kami semula dan pada masa sama, membantu orang lain agar tidak terpedaya dengan individu seperti ini.
“Saya harap mereka yang terlibat membaca artikel ini dan tampil memberi penjelasan mengapa mereka melakukan penganiayaan seperti ini. Sekurang-kurangnya, syarikat lain juga dapat lebih berhati-hati,” ujarnya.
Terdahulu, Noraniza mendakwa dirinya dianiaya oleh sebuah akademi latihan keusahawanan sehingga mengalami kerugian sebanyak RM630,000 pada awal tahun ini.
Difahamkan, akademi terbabit menawarkan peluang di platform mereka untuk penjualan produk makanan, termasuk muruku yang diusahakan oleh Noraniza.
#Noraniza Idris #Kak Ani #Che Ani Premium