HIBURAN

Anggota 4U2C, Azam Nafi Semua 25 Lagu Milik Man Senoi - “Kecewa…70 Peratus Lagu Milik Kami”

Umirah Halim 03/07/2025 | 02:55 MYT
Ahli kumpulan 4U2C, Azam menafikan dakwaan bekas pengurus merangkap komposer, Man Senoi, yang mendakwa kesemua 25 lagu kumpulan itu merupakan hak milik penuh syarikatnya, Zman Production.

Menurut Azam, kebanyakan lagu yang terkandung dalam dua album kumpulan tersebut adalah hasil ciptaan anggota 4U2C sendiri dan bukan semata-mata milik Man Senoi dan isterinya, Mama Rap.

“Saya ahli MACP dari tahun 1992, saya masih aktif. Dalam lagu-lagu 4U2C ni, mungkin ramai yang tak tahu dan ramai yang menyangka lagu-lagu ini milik ex-manager kami, Man Senoi.

“Tapi sebenarnya, lagu-lagu top kami macam Fiona adalah ciptaan Joe. Lagu To Be Number One, itu lagu saya 100 peratus. Kami rappers sendiri yang cipta dan hasilkan lagu-lagu itu,” katanya.

Azam berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di sidang media tergempar 4U2C yang diadakan di Tribeca Serviced Hotel, Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada petang Rabu.

Selain itu, Azam turut meluahkan rasa kecewa terhadap kenyataan Man Senoi yang disifatkan bukan sahaja mengelirukan, malah menafikan sumbangan sebenar ahli kumpulan dalam proses penciptaan lagu sejak awal penubuhan 4U2C.

“Kalau nak ikutkan daripada album pertama yang ada 10 lagu, saya rasa lagu Man Senoi dan Mama Rap hanya tiga sahaja. Album kedua pun sama juga.

“Most of the song yang kita buat adalah milik kami sebab kita ni asalnya memang pemuzik dan pencipta lagu.

“Jadi bila dia nak claim 25 lagu itu semua dia punya, saya agak kecewa. Sebab kita pun buat lagu, buat lirik. Publisher pun ada hak dia juga. Bila dia nak claim semua dia punya, agak tak berapa sedaplah,.

“Daripada 25 lagu yang dia dakwa milik dia, saya ingat 70 peratus sebenarnya adalah lagu kami.

“Jadi, isu ini tak sepatutnya timbul,”katanya lagi.

Terdahulu, timbul kontroversi apabila Man Senoi dan isterinya Mama Rap mendakwa tidak dimaklumkan mengenai penganjuran konsert We 4U2C Live In Concert serta mempersoalkan bagaimana acara itu boleh dianjurkan sedangkan hak cipta lagu-lagu tersebut didakwa milik penuh syarikat mereka.

Bagaimanapun, pihak 4U2C menegaskan segala urusan persembahan telah dilakukan secara sah melalui MACP, termasuk mendapat kebenaran penuh bagi penganjuran konsert melibatkan lagu-lagu di bawah badan pelesenan berkenaan.

#Azam #Lagu #4U2C #Hak Cipta