Anggota Rabbani, Nazrul Azhar Meninggal Dunia, Hidap Penyakit Buah Pinggang Sejak 8 Tahun Lalu
Asyikin Mayudin
22/05/2024 11:10 MYT
22/05/2024 11:10 MYT
Anggota kumpulan nasyid Rabbani iaitu Nazrul Azhar Tamrin meninggal dunia kira-kira pukul 4.45 petang di kediamannya di Saujana Utama, Sungai Buloh pada Rabu.
Meninggal Dunia Di Usia 47 Tahun
Berita pemergian arwah, 47 turut disahkan oleh rakannya yang juga anggota Rabbani iaitu Azadan Abdul Aziz.
“Saya dapat berita pemergiannya pukul 4 petang tadi dari anaknya memaklumkan Allahyarham tak sedarkan diri dan sedang menunggu ambulans untuk dibawa ke hospital.
"Bagaimanapun Nazrul disahkan meninggal dunia pada 4.45 petang tadi," katanya.
Sakit Buah Pinggang
Berkongsi lebih lanjut, Azadan berkata, Nazrul sudah lama menderita komplikasi akibat penyakit buah pinggang sejak lapan tahun lalu.
"Buah pinggang arwah memang sudah lama rosak kedua-duanya, kami juga sudah lama rehatkan dia. Hampir lapan tahun juga dia berehat... mata juga sudah tidak kabur," kongsinya.
Azadan memberitahu kali terakhir dia bertemu arwah pada dua hari lalu bagi membincangkan kutipan dana kos rawatannya.
BERITA TRENDING: Sheriff: Syafiq Yusof Dedah Sisi Lain Zul Ariffin - “Aku Tak Jangka, Dia Buat…”
"Dua hari lepas sempat saya bertemu dia ketika itu tangan kirinya sedang membengkak. Kami sedang berpakat untuk mencari dana sebanyak RM15,000 untuk pembedahan tapi tidak kesampaian," katanya lagi.