Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Hiburan

Angkat Kisah Depresi, Penyanyi Baru Adam Malek Pertaruhkan Lara

Kamaruddin Razal 17/03/2020 | 11:36 MYT
Pendatang baru dalam industri nyanyian, Adam Malek tampil mempertaruhkan single yang berjudul Lara.
Mungkin ada sesetengah peminat dunia hiburan mengenali Adam menerusi program realiti Pop Krew yang ditayangkan sekitar 2014.
Ketika itu, Adam menganggotai kumpulan Novemboys bersama dengan tiga orang ahli lain iaitu Haqiem Rusli, Danial dan Wan.
Sebelum ini juga, Adam pernah menyertai Mentor Milennia pada tahun 2017 tetapi tidak berjaya dipilih menjadi protégé Tomok.
Meneruskan perjalanan kariernya bersama Valient Music, Lara yang merupakan ciptaan komposer Natasha menjadi taruhan terbaru jejaka bernama Adam Malek Shamsuddin ini.
Lara ialah sebuah lagu yang mengisahkan tentang kemurungan dan depresi.
Sebelum ini, Lara telah dicuba rakam oleh tiga penyanyi lain tetapi semuanya seperti 'tidak kena' sehinggalah Adam menyanyikannya.
Dalam pada itu, jejaka kelahiran Kuala Lumpur ini mengakui dirinya juga dalam keadaan yang 'lara' sebelum dilamar oleh Valient Music pada tahun 2019.
"Untuk single Lara, saya bagi 100 peratus keupayaan saya. Ini semua untuk membuktikan kepada orang ramai yang saya pun ada ‘suara’ untuk menyanyi di dunia ini," kata Adam.
Lara diterbitkan oleh Valient Music dengan kerjasama Universal Music Malaysia selaku pengedar.
Single ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, Apple Music, KKBox, Deezer, Joox, iTunes, YouTube dan juga YouTube Music.
#Depresi #Penyanyi Baru #Adam Malek
;