Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Angkat Kisah James Brooke, Filem Rajah Kini Menemui Penonton Di Pawagam!

Shahrin Zulkifle
14/03/2023 13:00 MYT
Sebuah filem yang mengangkat sejarah Rajah Putih pertama Sarawak, Sir James Brooke (1803-1868) berjudul Rajah kini menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia bermula 9 Mac lalu.

Kerjasama antara syarikat produksi, Margate House Films dan 852 Film dan Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Sukan Sarawak itu diterajui Jonathan Rhys Meyers yang memegang watak James Brooke.

Lebih menarik, dua bintang popular tanah air iaitu Bront Palarae dan Shaheizy Sam diberikan kepercayaan untuk menjayakan filem penuh bersejarah ini.

Menurut Bront, dia menyifatkan peluang diberikan untuk terbabit dalam pembikinan filem sejarah negeri Sarawak itu adalah pengalaman berharga buatnya.

"Saya rasa beruntung apabila terpilih untuk menggalas watak ini dan sangat senang untuk bekerjasama dengan pelakon-pelakon lain.

"Walaupun dari negara, latar belakang dan budaya berbeza, pendekatan kerja boleh dikatakan sama. Bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengantar di set penggambaran, jadi kesemua yang terbabit tidak ada masalah untuk berkomunikasi.

"Ada juga beberapa kesempatan untuk pelakon-pelakon luar mempelajari bahasa kebangsaan dan dialek dialek Sarawak," katanya.

Sementara itu, Sam pula menganggap ia adalah satu pengalaman berharga biarpun senario lakonan di Sarawak menjadi cabaran utama buatnya.

"Pengalaman berlakon dalam filem Rajah sangat berbeza bagi saya kerana berada dalam suasana yang baharu. Penggambaran juga dijalankan sepenuhnya di Sarawak dan itu adalah kali pertama buat saya.

"Walaupun penggambarannya boleh dikatakan mencabar dan tidak berada dalam keadaan selesa, tetapi ia adalah pengalaman yang baik buat saya.

"Selain itu, cabarannya adalah saya perlu menggalas watak orang Melayu zaman dahulu dan menyesuaikan diri dengan bahasa serta budaya di Sarawak," katanya.

Lebih mengujakan apabila filem sentuhan pengarah, Michael Haussman itu turut menceritakan pengembaraan James Brooke sejak mula berlayar ke Borneo yang pada ketika itu masih berada di bawah kawalan kesultanan Brunei pada 1839.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Margate House Films, Rob Allyn berkata, dia mula berminat untuk menjalani penggambaran kehidupan James Brooke selepas mengenali tokoh itu melalui nota dalam sebuah novel hasil penulisan George MacDonald Fraser pada 2009.

Kemudian, Rob terjumpa buku bertajuk 'Rajah Putih Sarawak' yang menceritakan sejarah James Brooke di sebuah kedai buku di Singapura, sekali gus menarik minatnya untuk menterjemahkannya dalam bentuk filem.

“Saya mengambil masa selama tiga tahun memikirkan untuk menghasilkan filem ini. Penulisan skrip filem ini bermula pada 2013 sejurus saya dan pasukan produksi bersetuju untuk menjadikan penceritaan ini sebagai sebuah filem,” kata Rob.

Filem Rajah menampilkan bintang hebat dari pelbagai negara seperti Atiqah Hasiholan (Indonesia), Dominic Monaghan (British), Hannah New (United Kingdom) dan Josie Ho (Hong Kong).

Pembikinan filem Rajah adalah hasil pelaburan bersama antara empat negara iaitu Malaysia, China, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Malah, dana tunai sebanyak 30 peratus daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) turut disalurkan kerana pihak produksi terbabit memilih Malaysia sebagai lokasi penggambaran dengan kerjasama syarikat produksi tempatan.

Lokasi utama penggambaran secara keseluruhannya dijalankan di Sarawak, bermula 24 September 2019 hingga akhir Oktober pada tahun sama.

Saksikan filem Rajah di pawagam seluruh negara sekarang!

#Filem #Bront Palarae #Pawagam #Shahiezy Sam #Filem Rajah #James Brooke
;