Hiburan
Angkat Seni Mak Yong Dalam Genre Aksi, Filem Duan Nago Bogho Mampu Jadi Karya Evergreen - "Bukan Untuk Penonton Kelantan Saja, Tapi Semua"
Filem Duan Nago Bogho sebuah filem yang berjaya mengangkat seni tradisional Mak Yong dikatakan mampu menjadi karya ‘evergreen’ dan terus relevan ditonton oleh masyarakat.
BERITA BERKAITAN:"Saya Orang Lama, Tak Popular Pun…”- Mak Engku Sebak, Lihat Rakan Artis Tak Putus-Putus Datang Ziarah
BERITA BERKAITAN: “Dulu Di Rumah Selalu Kacau Umi Sebab Dia Ada Depan Mata..." - Penghantar Makanan Ini Sering Baring Di Kubur Ibu Kerana Terlalu Rindukan Arwah
Penerbitnya, Datuk Arifful Ahmadi Ab Rahman yakin filem terbitannya itu mempunyai pelanginya tersendiri apabila mampu mengetengahkan dua elemen iaitu seni budaya dan komersial.
Naskah nukilan Sabri Yunus ini mempunyai lapis makna yang mendalam di sebalik jalan ceritanya yang ringkas namun padat.
“Sepanjang bergelar penerbit, saya lihat tidak ramai penerbit berani terbitkan filem yang mengangkat jatidiri mahupun budaya kita. Jadi, saya berbincang dengan Sabri Yunos selaku pengarah dan penulis skrip hingga terhasilnya filem Duan Nago Bogho ini.
“Tidak dinafikan memang terdapat beberapa kritikan, tetapi saya yakin ia pasti menjadi bualan ramai apabila filem ini berjaya," katanya pada acara Sesi Apresiasi Filem di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur malam Isnin sempena dengan Festival Filem Malaysia Ke-33 (FFM33).
Filem Duan Nago Bogho mengangkat seni tradisional Kelantan dan pelakonnya juga hampir semua bertutur dalam loghat Kelantan, namun ia dilihat tidak menyukarkan penonton untuk memahami jalan cerita berkenaan.
Kata Arifful, tidak ramai penerbit berani menghasilan filem aksi ditambah dengan seni tradisional Melayu, apatah lagi Mak Yong yang mungkin sangat asing bagi generasi muda.
Lebih membanggakan filem yang menggunakan dialek Pantai Timur itu berjaya mendapat kutipan pecah panggung sebanyak RM1.3 juta.
"Mak Yong ini bukan untuk Kelantan sahaja, dia untuk kita, untuk semua. Untuk Malaysia. Meskipun filem ini mungkin agak berat pada sesetengah individu, saya dapat lihat ia tetap mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan.
"Di negara kita terlalu banyak filem bercorak cinta dan seram jadi kita kekurangan filem menyelitkan jati diri 'filem kita wajah kita'
"Jadi saya bincang dengan pengarah kita perlu hasilkan sebuah filem yang menonjolkan budaya Malaysia. Maka inilah hasilnya," katanya.
Kata Arifful, tidak keterlaluan jika dikatakan filem Duan Nago Bogho merupakan antara karya terbaik.
“Filem ini turut ditayangkan di Netflix. Sedangkan umum mengetahui tidak semua filem tempatan dapat dijual di platform itu. Maksudnya disitu apa? Filem ini memang terbaik.
“Ini membuktikan bahawa Duan Nago Bogho sememangnya mempunyai kualiti yang tersendiri untuk ditayangkan kepada penonton,” ringkasnya.
Filem terbitan syarikat Kalamarif Holdings Sdn Bhd itu tercalon dalam kategori Filem Terbaik di FFM33 dan akan bersaing dengan enam buah filem seperti Abang Adik, Mechamato Movie, Rain Town, Imaginur, Hungry Ghost Diner dan Sheriff.
Menampilkan pelakon Asrul Faizal selaku teraju utama, filem itu turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Datuk Rosyam Nor, Jojo Goh dan Sangeeta Krishnasamy.
Selain itu, Asrulfaizal sebagai tunjang utama fikem itu juga tercalon dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik dan bersaing dengan empat lagi pelakon hebat seperti Zul Ariffin (Sheriff), Beto Kusyairy (Imaginur), Shaheizy Sam (Polis Evo 3) dan Chew Kin Wah (Rain Town).