Ani Maiyuni Setia Dengan Irama Dangdut

Kamaruddin Razal
Mei 23, 2018 23:07 MYT
Penyanyi Ani Maiyuni mengakui dirinya masih setia dengan irama dangdut biarpun sambutannya tidak seperti dahulu.
Pemilik nama penuh Aishah An-Nur Osman yang mula dikenali dengan lagu Sedap ini menjelaskan irama tersebut sudah sebati dengan dirinya.
"Saya masih setia dengan dangdut kerana irama tersebut yang memperkenalkan nama saya dalam bidang muzik. Saya setia dengan dangdut yang memang sudah sebati dengan saya.
"Bukan saya tidak boleh menyanyikan lagu-lagu genre lain, tetapi genre dangdut semakin kurang mendapat sambutan di negara kita. Lihat sahaja di Indonesia, irama dangdut masih utuh bertahan dan popular sehingga kini," katanya lagi.
Dalam pada itu, Ani juga tidak mahu tergesa-gesa dalam menghasilkan buah tangan terbaru untuk peminat di luar sana.
"Saya memang menyimpan hasrat untuk tampil dengan lagu baru tetapi saya tak mahu tergesa-gesa atau terkejar-kejar.
"Saya mahu menghasilkan produk berkualiti yang dapat meninggalkan kesan untuk semua pendengar di luar sana," katanya ketika ditemui di majlis prebiu juadah Ramadan Hotel Royal KL baru-baru ini.
Ani diberi kepercayaan bagi menghiburkan pengunjung Hotel Royal sepanjang Ramadan buat tahun kelima bersama selebriti serba boleh, Kelly Azman.
"Syukur, sudah lima tahun saya dan Kelly menghiburkan pengunjung di hotel ini sepanjang bulan Ramadan.
"Saya amat selesa bekerja dengan Kelly kerana dia seorang yang berbakat serta mudah dibawa berbincang," katanya lagi.
Teks: Kamaruddin Razal
Foto: Malaysian Gazzette
#Penyanyi #Penyanyi #Ani Maiyuni