Cef selebriti, Anis Nabilah menyimpan hasrat untuk menyediakan masakan kepada Ratu Elizabeth II.

Kata Anis, dia mahu mengambil cabaran untuk menyediakan masakan kepada Ratu Elizabeth II kerana mengetahu baginda tidak menggemari bawang putih.

"Saya rasa kalau diberi peluang untuk masak kepada seseorang, saya mahu masak buat Ratu Elizabeth. Ini kerana saya teringin untuk masak dalam dapur Istana Buckingham. Ia akan menjadi satu cabaran sebab saya tahu Ratu Elizabeth tidak gemar makan bawang putih dan itu pula merupakan bahan kegemaran saya dalam masakan.

"Kalau perlu masak, saya mungkin akan masak makanan Melayu yang tidak ada bawang putih. Mungkin saya akan memasak rendang, masak lemak atau asam laksa," katanya.

Dalam perkembangan lain, Anis yang pernah dinobatkan Asean's Most Influential Chef pada Asean Food & Travel Awards 2022 pada April lalu, sekali lagi diiktiraf di luar negara apabila memenangi dua anugerah di The Gourmand Awards: World Cookbook Awards 2021 di Umea, Sweden.

Bercakap soal kariernya dengan lebih lanjut, tentu sahaja Anis turut mempunyai perancangan yang besar dalam kerjaya yang diceburi ini.

"Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan memang tidak menyangka langsung. Sebenarnya saya tahu yang saya dicalonkan untuk satu kategori iaitu Books by Celebrity Chef untuk buku resipi saya, iaitu Comfort Food by Anis Nabilah for Thermomix.



"Saya bersyukur apabila diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga dalam kategori itu. Pada masa yang sama, saya dimaklumkan tentang satu lagi kemenangan dalam kategori Best Food Show di Asia Tenggara. Saya sangat terkejut dan bersyukur. Sampai sekarang pun, saya masih mencuba untuk menerima kemenangan ini.

"Apa pun saya masih macam tidak percaya sebab saya sepertinya tidak menghantar apa-apa penyertaan untuk pencalonan tersebut. Tiba-tiba sahaja mereka anugerahkan kemenangan itu kepada saya. Saya benar-benar rasa sangat bersyukur, Alhamdulillah," katanya.