Hiburan
Anjur Ceramah Agama Di Restoran Miliknya, PU Riz Ingin Suntik Elemen Kerohanian
Pendakwah muda popular, PU Riz kini bangkit dengan semangat baru dan ingin melupakan kontroversi yang melanda dirinya baru-baru ini.
Menurut Riz, pengalaman itu mematangkan dirinya mengenai selok belok dunia seni seterusnya mengorak langkah alam perniagaan.
"Saya ingin meneruskan legasi bapa yang terlebih dahulu menceburi dunia perniagaan.
"Bapa menjadi mentor saya dalam apa yang dilakukan termasuk selok belok dunia perniagaan.
"Saya percaya dalam hidup ini, kita perlu lakukan sesuatu yang dapat memberi jaminan masa depan. Ada juga pendapatan tetap saya setiap bulan.
“Dunia seni masih saya cintai dan berjalan macam biasa. Cuma saya melihat prospek perniagaan makanan ini khususnya boleh dikembangkan dengan baik.
"Kalau sebut pasal makan ini semua orang perlukan makanan. Pilihan makanan di luar sana memang macam-macam.
"Saya rasa sudah tiba masanya untuk restoran ini dipromosikan dengan lebih meluas," katanya kepada Gempak.
Riz ditemui ketika pertemuan santai bersama media di sebuah restoran miliknya, Food Station yang berhadapan pusat membeli belah Nu Sentral.
Tambah Riz atau nama sebenarnya Muhammad Haris Mohd Ismail turut menganjurkan ceramah agama di restoran berkenaan.
"Saya turut menganjurkan ceramah agama di restoran saya. Dari segi pemilihan tajuk, saya akan berkongsi di media sosial supaya peminat boleh memilih tajuk yang diinginkan.
"Dalam masa yang sama, saya ingin menyuntik elemen kerohanian sambil menjamu selera.
"Untuk mereka yang tergolong dalam gelendangan, saya akan berikan makanan percuma sebagai satu aktiviti kebajikan," katanya lagi.