Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!

Anjur Konsert Pertama Di Malaysia, Govinda Nafi Guna Nama Ernie Zakri & Aina Abdul - “Tak Ada Istilah…”

Khairil Khusyairi
04/10/2024 09:55 MYT
Penyanyi berkumpulan Indonesia, Govinda meluahkan rasa teruja apabila bakal membuat persembahan di konsert sulung mereka iaitu Govinda Hal Hebat @ Kuala Lumpur hujung bulan ini.

Konsert Pertama Di Malaysia

Vokalis Govinda, Muhammad Irfan Hadari berkata, persiapan konsert yang menampilkan penyanyi-penyanyi hebat lain itu kini sudah mencecah 80 peratus.

“Kami buat persembahan di Malaysia sebab kami yakin bahawa karya kami diterima sangat baik di sini.

“Alhamdulillah selepas melihat data seperti jumlah penstriman, viewers di Youtube dan banyak kandungan yang diterima baik di Malaysia, jadi kami yakin untuk adakan konsert ini.

“Setakat ini persiapan sudah mencecah 80 peratus, berbaki beberapa hari saja lagi menjelang konsert,” ujar Govinda kepada pemberita.

Nafi Tumpang Populariti

Tambah Irfan, dia juga menepis dakwaan Govinda menumpang nama Ernie Zakri dan Aina Abdul untuk menjayakan konsert itu kelak.

“Ketika Ernie datang ke Indonesia, kami semua termasuk media Indonesia menyambutnya dengan sangat baik. Walaupun Govinda terkenal di Indonesia tapi kami tak pernah menganggap Ernie menumpang nama kami.

“Tetapi kami berbangga dengan pencapaian dan bakat luar biasa Ernie. Jadi kami berbangga mempromosikan Ernie di Indonesia.

“Begitu juga di Malaysia, tak ada istilah kami menumpang nama mana-mana penyanyi. Kami masing-masing mencipta nama,” jelasnya.

Kerjasama Bersama Ernie

Dalam pada itu, Ade pula berkata pihaknya bakal meluncurkan satu lagi karya bersama Ernie Zakri selepas kejayaan lagu Masing-Masing yang mendapat sambutan hangat di Indonesia dan Malaysia.

"Kami merancang bekerjasama lagi dengan Ernie tahun depan. Insya-Allah, Ernie akan menyanyi lagu baru ciptaan kami. Lagu sudah siap proses rakaman dan hanya tunggu masa dilancarkan," katanya.

Konsert Govinda Hal Hebat @ Kuala Lumpur bakal berlangsung jam 8.30 malam di Zepp Kuala Lumpur pada 31 Oktober ini.

Selain Ernie dan Aina, kumpulan itu turut membuat kerjasama istimewa dengan penyanyi tempatan, Elica Paujin dan penyanyi kumpulan Padi dari Indonesia, Fadly.

Tiket boleh dibeli menerusi laman sesawang WWW.TICKET2U.COM.MY/GOVINDA atau hubungi talian Hotline tiket di 012 653 0700(WHATSAPP).

#Konsert #Ernie Zakri #Aina Abdul #Populariti #Govinda
;