Perkongsian foto pemenang Anugerah Gempak Most Wanted 2023 iaitu aktres Anna Jobling bersama puteri kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Brunei Darussalam iaitu Sultan Hassanal Bolkiah di laman sosial menarik perhatian wargamaya.

Menurut Anna, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah yang meluahkan hasrat ingin bertemu dengannya memandangkan beliau adalah peminat setia.

“Ramai ingat saya yang pergi jumpa Princess. Hari pertama saya sampai Brunei, dapat panggilan daripada pengurusan saya beritahu Princess Ameerah nak jumpa Anna sebab Princess kenal Anna.

“Princess sampai, terus datang dan peluk saya. Ikutkan Puteri Ameerah merupakan seorang puteri, yang memang susah nak jumpa. Tapi Alhamdulillah, rezeki saya dan ia satu rahmat untuk saya.

“Princess fan girl saya tapi saya pun fan girl princess. Kami luangkan masa selama dua jam berkongsi mengenai kehidupan dan macam-macam lagi,” katanya kepada Gempak.

Anna berkongsi perkara itu di sidang media di malam kemuncak Gempak Most Wanted Awards 2023 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Putrajaya pada Ahad.

Dalam pada itu, pelakon drama Syurga Itu Bukan Mudah ini turut memberitahu Puteri Ameerah menonton drama lakonannya.

“Saya tanya Princess ‘Ameerah, macam mana kenal Anna?’. Princess kata dia tengok drama Anna. Tapi tak pasti drama apa,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Anna turut berkata dia dan Puteri Ameerah menyedari terdapat komen yang mengatakan wajah mereka seiras.

“Kami pernah tengok komen yang mengatakan muka kami seiras… untuk beberapa minit, kami pandang satu sama lain, untuk tengok apa yang sama.

“Princess cakap bila ramai cakap muka kami seiras itu satu pujian bagi princess. Bagi saya, ia satu pujian,” katanya lagi.

BERITA TRENDING: #GMWA23: Raih 1.5 Juta Undian, Gempak Most Wanted Milik Anna Jobling!