Gaya Hidup
Anna Olson Teruja Belajar Buat Onde-Onde Dengan Chef Wan
Chef Selebriti Antarabangsa, Anna Olson akui teruja kerana berpeluang belajar membuat kuih Onde-Onde bersama Chef Wan.
Menurut personaliti yang popular menerusi program Bake With Anna Olson itu, pengalaman bersama Chef Wan membuat kuih tradisional Malaysia tersebut adalah yang paling sukar dilupakan.
Tambahnya lagi dia amat bertuah dapat mempelajari teknik yang betul untuk menyediakan kuih tempatan yang unik dan enak itu.
“Saya sangat gembira dapat peluang belajar membuat Onde-Onde dengan seorang yang berpengalaman seperti Chef Wan.
"Chef Wan telah mengajar saya cara menyediakan kuih unik itu satu-persatu.
“Saya begitu tertarik untuk hasilkan Onde-Onde, terutama ketika menjadikannya bulat selepas diisi dengan gula Melaka.
“Lebih menarik lagi selepas diuli bulat, ia perlu direbus sehingga masak dan kemudiannya disalut dengan kelapa parut yang putih.
“Rasanya sangat sedap dan sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata,” kata Anna kepada Suudu.
Anna ketika ditemui di Pusat Penyiaran Asia (ASTRO) turut berkongsi pandangan peribadinya mengenai Chef Wan.
Menurut pemilik restoran Olson Foods at Port, St. Catharines, Ontario ini, Chef Wan seorang yang bijak dan sangat baik.
"Chef Wan telah memberi inspirasi dan idea kepada saya untuk menghasilkan resepi baru dalam program masakan saya Bake With Anna Olson yang bersiaran Food Network Canada.
“Dia seorang yang sangat lucu dan tidak kedekut ilmu untuk berkongsi kepakarannya dalam bidang masakan.
“Hasilnya, selepas belajar bersama Chef Wan, saya telah menggabungkan resepi pencuci mulut nenek saya dengan Onde-Onde Chef Wan.
“Saya telah mencipta kuih Donat tetapi cara membuatnya serupa dengan Onde-Onde. Donat itu saya isikan dengan gula Melaka, rebus dan salutkan dengan kelapa parut seperti Onde-Onde.
“Walaupun ia nampak sama, tetapi tidak 100 peratus serupa dengan Onde-Onde kerana saya rasa tidak wajar meniru sepenuhnya idea Chef Wan untuk program masakan saya,” selorohnya.
Wanita kelahiran Georgia, Amerika Syarikat ini turut dikenali menerusi program Sugar dan Kitchen Equipped yang disiarkan di saluran AFC (705).
Dapatkan resepi terkini menerusi Suudu App yang boleh dimuat turun di App Store dan Google Play.
Jangan lupa tekan butang ‘like’ di FB Suudu dan Instagram Suuduasia untuk mengetahui perkembangan terkini mengenai dunia masakan dan kulinari.
Must-Watch Video