Pengasas band berpengaruh Indonesia, Ahmad Dhani, mengumumkan Dewa 19 memilih Malaysia sebagai salah satu destinasi yang wajib disinggahi dalam rangka terbaharu Anniversary Tour 30 Years of Dewa 19 atau Konsert 30 Tahun Dewa 19.

Pengumuman tersebut dibuat Dhani sewaktu ditemui di Hotel JW Marriott, Kuala Lumpur. Dhani hadir ke Malaysia untuk pertama kali memenuhi undangan terbabit dalam Garden Of Eid Festival, hujung minggu lalu.

Dhani, 50, juga memastikan dirinya akan hadir ke Malaysia dalam Konsert 30 Tahun Dewa 19, selepas tidak menyertai rakan seperjuangan yang lain sewaktu konsert Dewa 19 yang berlangsung pada 2 Februari 2019 kerana berada dalam tahanan di penjara di Indonesia.

Selain dirinya, Dhani yang menyifatkan Dewa 19 sebagai band tanpa vokalis berkata, sesuai tema 30 tahun merayakan perjalanan muzik mereka, beberapa bekas anggota band ini akan ikut serta.

“Jadi Dewa 19 itu adalah band tanpa vokalis. Kami ditinggal dua kali oleh vokalis iaitu Ari Lasso dan Once. Tapi anggota lain masih kekal.

“Nanti saat Konsert 30 Tahun Dewa 19, akan ada saya setelah kelmarin (tahun 2019) tidak dapat hadir ke Malaysia.

“Kita juga akan bawa vokalis baru sama ada Ello atau Virzha. Tergantung ya,” katanya.

Menurut arkitek muzik yang melahirkan untaian hit band ini seperti Kangen dan Hadapi Dengan Senyuman itu, Konsert 30 Tahun Dewa 19 akan menjadi persembahan istimewa, khusus buat Baladewa.

Hal ini kerana band yang terbentuk di Surabaya tersebut akan melantunkan 30 buah lagu di 30 lokasi dengan kebanyakan untaian yang dimainkan kelak sangat jarang diperdengar atau dipersembahkan dalam aksi mereka sebelum ini.

“Konsert pertama kami telah bermula di Surabaya dan beberapa kota lain termasuk Singapura serta Malaysia yang akan melengkapkan rangka 30 lokasi.

“Di 30 lokasi, kami akan memainkan 30 buah lagu yang kebanyakannya tidak pernah kami mainkan dalam konsert sebelum ini.

“Ia akan bermula dari album dengan lagu Kangen dan misalnya lagu lagu yang tidak didengar oleh bukan peminat setia kami, Baladewa,” tambahnya lagi.

Ditanya mengenai kepentingan Konsert 30 Tahun Dewa 19 ini, Dhani mengatakan ia adalah tentang hubungan persahabatan yang terjalin sepanjang mereka melalui sepak terajang dunia muzik selain penghargaan buat peminat.

“Ini 30 tahun yang tidak pernah ada penyesalan. Jadi ia tentang perjalanan dan perhubungan yang terjalin di antara kami juga hubungan sama peminat di Singapura dan Malaysia,” katanya.

Mengikut perancangan, Anniversary Tour 30 Years of Dewa 19 akan diadakan di Kuala Lumpur pada September depan dengan butiran lanjut termasuk tarikh dan harga tiket diumumkan kelak.