Unik tetapi melucukan! Sepotong video memaparkan aksi sekumpulan jejaka sedang berkemas tular di Twitter.

Bukan biasa-biasa sebenarnya, memandangkan mereka sebenarnya meniru salah satu babak daripada filem pecah panggung, Hantu Kak Limah.

Babak yang dilakonkan oleh Zul Ariffin, Sharwani, Allahyarham Rab Khalid dan Datuk Awie itu berjaya dijadikan parodi yang sangat menghiburkan.

"Antara sebab kenapa lelaki kalau kemas rumah lambat sikit berbanding perempuan," tulis pengguna Twitter yang dikenali sebagai Muhd Hamka Zaki.

Pemilik Twitter itu difahamkan antara salah seorang daripada tiga jejaka dalam video berkenaan.

Selain menjadikan parodi babak Hantu Kak Limah, video itu turut disunting dengan menggunakan lagu serupa seperti filem asalnya, Hatiku Luka Lagi (Black Dog Bone).

Sehingga kini, video parodi itu telah ditonton lebih 222,000 kali dan diulang kicau (retweet) melebihi 18,000 kali.

Filem Hantu Kak Limah telah melakar sejarah dengan mengutip RM35 juta sejak mula ditayangkan dua minggu lalu.

Hantu Kak Limah diarahkan oleh Mamat Khalid turut dibintangi Dalimawati Ismail, Ropie, Uqasha Senrose, Erra Fazira dan Datuk Seri Vida.

Apa kata jom layan video parodi Hatiku Luka Lagi sambil mengemas bilik!