Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Anuar Zain, Sang Superstar Yang Cemerlang Lunas Konsert Ditemani Nebulizer

Maliah Surip
29/10/2023 11:20 MYT
Anuar Zain 40th Anniversary Concert secara tidak sedar bukan sekadar sebuah persembahan atau konsert yang menyaksikan penyanyi dengan nama sebenar Shahrul Anuar Zain menyanyi.

Konsert ulang tahun ke-40 Anuar Zain adalah tentang kembara seni, jati diri, apresiasi, kecintaan dan perjuangan penghibur ini terhadap karier yang dibina sejak kanak-kanak.

Dalam selang seli persembahan, Anuar berkongsi momen-momen yang pernah dilewati — antaranya tentang beliau yang sangat dipuja dengan untaian hit yang membuat cair banyak hati pernah berasa down atau mempersoalkan adakah relevan seorang Anuar Zain sebagai penghibur lagi.



“Ia terjadi pada tahun 2007, saya sangat down dan mempersoal adakah diri masih relevan. What’s next? Ia datang begitu dan saya terlayan,” jelas Anuar usai konsert saat diminta memperinci tentang kisah down yang dikongsi di atas pentas.

Namun lewat dukungan keluarga, orang terdekat dan peminat, kata Anuar beliau mempersetankan perasaan yang mahu membawanya ke lembah tidak berguna.

Beberapa tahun bergelut beliau bangkit. Dan pada tanggal 28 Oktober 2023, Anuar Zain tidak sepatutnya meragui kemampuan dan betapa relevan dirinya dalam industri hiburan tempatan.

Seramai 8,000 peminat dari hujung dan tingkat paling atas Stadium Malawati Shah Alam sehingga ke hujung sudut lain, penuh tidak ada ampun. Lampu-lampu merah dinyalakan lalu dilambai dan sorakan dengan jeritan I Love You Anuar Zain yang silih berganti memberitahu penyanyi tersebut betapa dirinya masih relevan dan tidak pernah dilupakan.

Pada saat vokal dengan ciri khas yang hanya dimiliki Anuar Zain dilantunkan, satu stadium bergema. Pesona lelaki pematah hati ini terus bertebaran di seluruh stadium yang disifatkan mempunyai sejarah sekaligus membuat dirinya mahu menyambut keraikan 40 tahun kariernya di sini.

Ironi, figura berusia 53 tahun tersebut mengalami masalah kesihatan. Satu minggu sebelum konsert penting berlangsung beliau jatuh sakit dan kehilangan suara. Beliau juga langsung tidak menyanyi sebaliknya hanya memantau dan mendengar muzik demi menyimpan suara untuk malam penting.

Padahal suara adalah instrumen paling penting sebagai penghibur untuk membuktik kredibilitinya selama 40 tahun ini.

Meski bergelut dengan masalah kesihatan dan hilang suara, Anuar Zain membuktikan profesionalisme dan kecintaan terhadap bidang seni boleh membunuh keresahannya untuk tidak dapat beraksi pada malam konsert.

Untaian demi untaian dari Bila Resah, Sedetik Lebih, Keabadian Cinta, Ajari Aku, Teman Terulung, Perpisahan dan Selamat Malam dilantunkan sehabis baik ; dengan pada slot dirinya mendendangkan empat lagu yang memberi erti kepada dirinya bersama iringan piano dan pengarah muzik Sze Wan termasuk Di Dalam Emosi Ini milik figura yang menjadi rujukannya, Datuk Sheila Majid, beliau beberapa kali menyedut nebulizer.

“Rasanya tak pernah dibuat penyanyi lain apabila terpaksa sedut nebulizer ketika menyanyi. Saya kecewa kerana tidak mencapai standard yang diinginkan.

“Sakit ini bukan saya cari, saya tak cari pun hilang suara, saya tak cari pun batuk, saya tak cari pun demam,kalau dia nak jadi ia jadi.

“Walaupun suara saya tiada namun semangat saya sangat kuat, apa pun yang terjadi the show must go on.

“Jadi saya kata pada diri saya, its okay dan saya beritahu kepada semua penonton keadaan sebenarnya agar mereka tahu apa yang terjadi, saya cuba buat yang terbaik untuk semua dan harap semua terhibur dengan persembahan malam ini,”katanya lagi kepada media.

Dan dengan kuasa ‘Lelaki Ini’, Anuar Zain berjaya melunaskan konsert selama tiga jam dengan cemerlang. Gemersik vokalnya masih mahal. Paling patut dibanggakan, Anuar dengan bantuan nebulizer mampu mencapai notasi tinggi dan langsung tidak bermain trick meminta bantuan peminat menghulur mikrofon untuk menyanyi.

Anuar Zain melakukannya sendiri — mempersona peminatnya dengan nyanyian dalam senyum manis dan kerendahan hatinya.

Staminanya juga masih tinggi dan paling menarik adalah bagaimana Anuar Zain tampil sederhana dalam balutan milik Datuk Sri Bernard Chandran berbanding ekspektasi peminat yang membayangkan beliau muncul dengan tuxedo.



Tentulah konsert yang dimulai dengan lagu Kaulah Satunya ini tidak layak menerima konotasi konsert jika ia ditampilkan seperti sebuah persembahan biasa.

Ucapkan terima kasih dan tahniah buat JioBuddy selaku penganjur dan rakan kolaborasi, Altus Prohouse yang menjadikan imaginasi dari Pengarah Konsert, Jennifer Thompson dan Pengarah Muzik, Sze Wan bersama orkestra wujud dalam persembahan pencahayaan, pentas dan muzik yang mewah.

Anuar Zain lewat Anuar Zain 40th Anniversary Concert memberi kepercayaan industri muzik tempatan memiliki bakat besar yang tidak harus dipandang enteng.

Anuar Zain menjadi bukti nyata yang patut dirujuk generasi masa kini jika ingin berjaya bukan sahaja dengan ketelitian karya sehingga menjadi malar segar tetapi juga bagaimana menyantuni sekeliling meski diri adalah seorang superstar.

#Anuar Zain
;