Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Anwar Ibrahim Zahir Ucapan Tahniah Pada Michelle Yeoh

Gempak
14/03/2023 04:45 MYT

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada Tan Sri Michelle Yeoh atas kejayaan merangkul trofi Pelakon Wanita Terbaik pada Anugerah Akademi (Oscar) Ke-95 menerusi lakonannya dalam filem Everything Everywhere All at Once.

Menerusi ciapan di laman Twitter, Anwar menyifatkan pencapaian pelakon kelahiran Ipoh, Perak itu sebagai satu kejayaan yang perlu dibanggakan selain berharap menjadi suntikan semangat kepada penggiat seni tanah air.

“Dalam mencipta sejarah dengan menjadi bukan sahaja rakyat Malaysia pertama tetapi pelakon Asia pertama yang menang dalam kategori ini, kami (kerajaan) amat berbangga dengan pencapaiannya.

"Besar harapan agar pencapaian ini akan terus memberi inspirasi kepada semua penggiat seni dan perfileman tempatan. Tahniah dan syabas dari seluruh rakyat Malaysia!" katanya.

Kemenangan Michelle Yeoh, 60, sekali gus menewaskan empat pencabar lain bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik laitu Cate Blanchett (Tár), Ana de Armas (Blonde), Andrea Riseborough (To Leslie) dan Michelle William (The Fabelmans).

Untuk info, sejak mula membintangi filem Hong Kong pada 1990-an, bekas ratu cantik itu telah berlakon dalam pelbagai filem termasuk filem James Bond, Tomorrow Never Dies (1997) yang menerima pujian antarabangsa dan Crouching Tiger, Hidden Dragon (2000) yang membawanya kepada pencalonan British Academy Film Awards (BAFTA).

Terdahulu pada Januari lalu, Michelle Yeoh turut melakar sejarah apabila muncul sebagai pelakon Malaysia pertama meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik Muzikal/Komedi pada Anugerah Golden Globe di Los Angeles, Amerika Syarikat untuk filem yang sama.

Sumber - Bernama, Twitter Anwar Ibrahim

#Michelle Yeoh #Anwar Ibrahim #Oscar 2023