Laman Utama
“Anytime… Kalau Boleh Nak Sekarang” - Ayda Jebat Mahu Cepat Timang Anak Kedua
Penyanyi dan pelakon, Ayda Jebat mendedahkan yang dia teringin untuk menimang cahaya mata kedua memandangkan belahan jiwanya, Ana Nayla bakal menginjak usia satu tahun pada 21 September depan.
Ayda berkata, jika dia menerima kelahiran anak kedua dalam masa terdekat, tempoh untuk melihat bayinya membesar akan seiring dengan usia anak pertama, sekaligus memudahkan dirinya untuk kembali bekerja dalam masa beberapa tahun kemudian.
“Saya ready anytime… Kalau boleh nak sekarang. Bukan apa, saya dah lama tak shoot (bekerja). Dengan Ana Nayla pun hampir dua tahun berehat kerana mahu lihat dia membesar dahulu.
Advertisement
“Jadi kalau nak tunggu anak kedua selepas kembali bekerja akan memberi sedikit kesukaran, sementelah saya pula tak suka bekerja ketika hamil.
“Begitupun, saya tidak boleh untuk hamil buat masa sekarang. Sebab kelahiran Ana Nayla melalui proses pembedahan jadi memang kena tunggu dulu sebelum boleh hamil sekali lagi,” katanya kepada Gempak.
Ayda ditemui pada majlis pembukaan kedai alatan bayi Chicco yang berlangsung di IOI Putrajaya baru-baru ini.
Bercerita pula mengenai kereta sorong bayi dan kerusi untuk kegunaan dalam kereta, Ayda berkata, dia memang menitik beratkan soal keselamatan anaknya tatkala bepergian.
“Saya memang akan dudukkan anak di kerusi bayi untuk kereta demi keselamatannya. Kalau nampak saya kongsi di Instagram Story berkenaan dengan alatan-alatan bayi ini, bukanlah sebab promosi atau apa, cuma nak beri kesedaran kepada pengikut betapa pentingnya keselamatan anak kecil.
“Kalau saya nampak kawan-kawan yang pegang anak dalam kereta, pasti saya akan tegur. Bukan nak jadi penyibuk tapi bimbangkan keselamatan anak mereka,” kongsinya.
Must-Watch Video