Sebuah drama bersiri di bawah Gempak Original Series, Ex Aku Pontianak bakal menemui penonton selama 10 episod bermula 19 Januari ini.

Drama bergenre komedi seram ini menampilkan barisan pelakon seperti Ikmal Amry, Elizabeth Tan dan Raysha Rizrose, Alicia Amin, Maya Hanum Fikhree Bakar, Nabil Zakaria dan Arwan.

Bukan itu sahaja, drama ini juga diserikan dengan pelakon handalan seperti Fatimah Abu Bakar dan Datuk Malek Noor serta penampilan nama-nama besar selaku cameo seperti Amber Chia dan pelumba negara Alex Yoong.

Mengangkat hantu yang sinonim dengan masyarakat melayu iaitu pontianak, drama ini mengisahkan seorang playboy bernama Malik lakonan Ikmal Amry yang diburu oleh bekas teman wanitanya, Bella lakonan Elizabeth Tan kerana bermain kayu tiga. Malik terkejut apabila mengetahui Bella sebenarnya ialah seekor pontianak dan dia mendapatkan bantuan Suraya lakonan Raysha Rizrose, seorang pemburu pontianak yang mempunyai misi tersendiri untuk menghapuskan pontianak jahat seperti Bella yang cuba mengumpul kuasa baharu.

Diilhamkan oleh Anwar Hadi, drama terbitan syarikat produksi Red Comm ini Shamyl Othman selaku sutradara dan sokongan panel penulis skrip yang terdiri daripada Sharmaine Othman, Suzanne Ong dan Akmal Nahar.

Menurut Ketua Content Studio Astro, Syazwan Zakariah, jika sebelum ini Gempak dikenali dengan menerbitkan program realiti The House, kali ini mereka agresif menghasilkan drama untuk tontonan semua lapisan masyarakat.

“Menerusi jenama Gempak Originals Series, pelbagai kandungan unik yang ‘fresh’ dan berlainan genre dipersembahkan menerusi platform televisyen untuk merancakkan lagi industri hiburan tempatan.

“Terbaharu, kami bawakan drama bersiri Ex Aku Pontianak yang bukan sahaja menawarkan nilai hiburan yang tinggi dan jalan cerita menarik di luar kotak, tetapi diperkemaskan dengan lakonan yang baik, suntingan yang kreatif serta efek mekap dan kesan khas yang ‘believable’,” ujarnya menerusi satu kenyataan.

A post shared by Astro Gempak (@astrogempak)


Jangan lupa saksikan drama bersiri Ex Aku Pontianak pada setiap hari Rabu, jam 9.30 malam mulai 19 Januari 2022 secara eksklusif di saluran Astro Ria (104).

Ia turut boleh distrim menerusi portal Gempak, aplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.