“Apa Kaitan Selfie & Filter Dengan Rogol” - Cuba Beri Penjelasan, Tapi Fynn Jamal Masih Buat Caprice Keliru? Akhirnya...
Selepas mencetuskan pelbagai persoalan mengenai isu seksual berkaitan jenayah rogol, penyanyi Fynn Jamal akhirnya tampil memperjelaskan maksud sebenar pendapat yang cuba disampaikan.
Luahan itu dibuat menerusi sesi ‘Instagram Live’ bersama rapper Caprice malam semalam.
Perbualan antara mereka berdua dimulakan dengan pertanyaan Caprice mengenai bagaimana Fynn Jamal terdetik untuk berjihad.
Menurut penyanyi tersebut, dia telah memulakan perjuangan itu ketika dia masih belum bertudung lagi.
“Saya banyak ‘fight’ dan bantu remaja-remaja bermasalah.
“Punca saya berjuang adalah kerana saya tahu bagaimana rasanya kesunyian seorang diri. Tak ada tempat bergantung, tempat nak pergi. Bagaimana perasaan dibuang, kalau bunting je orang reject tutup pintu,” katanya.
Situasi kemudian bertambah ‘panas’ apabila Caprice meminta Fynn menjelaskan teori mengatakan wanita pakai ‘filter’ dan ‘selfie’ menjadi punca jenayah rogol.
Menurut Fynn Jamal, perkara dan perbuatan seharian kita sebenarnya mengundang kepada isu jenayah tersebut.
“Benda kita buat contoh Tik Tok, pakai filter dekat muka, enhance muka sampai tabarruj (berlebih-lebihan).
“Namun tidaklah maksud kita pakai filter tu kita kena rape, tidak. Ia tidaklah secara terus begitu,” katanya.
Walaubagaimanapun, penjelasan Fynn itu dilihat masih tidak berjaya membuatkan Caprice memahami kaitan antara pakai ‘filter’ dan rogol.
Malah, Caprice berkata, dia mahukan penjelasan yang jelas kerana dalam berjihad apa yang disampaikan mesti jelas.
“Adakah Fynn sangka semua wanita berhias untuk lelaki. Mak saya bersolek bukan untuk my dad tapi dia mahu feel good.
“Tapi bila Fynn kata pakai filter jadi rape, Caprice keliru,” katanya.
Cuba menjawab persoalan berkenaan, menurut Fynn Jamal, apabila kita mahu kelihatan cantik ia tidak menjadi masalah tetapi hanya di dalam rumah.
“Bila bawa keluar ke rumah, ia jadi salah. Perempuan lawa untuk suami tapi bila buat filter, obvious bukan untuk keyakinan diri, tapi untuk menunjuk atau show.
“Susah saya nak terangkan, ia daripada sekecil isu filter kemudian berkembang menjadi besar. Ibarat pucuk tak ada orang cantas nanti bila dah jadi pokok besar, jadi susah.
“Sebab kita dah ‘normalized’ benda yang tak betul,” katanya.
Perbualan antara mereka kemudian berlarutan hingga dua sesi.
Anda boleh lihat sesi ‘live’ antara Caprice dan Fynn Jamal di bawah.
Terdahulu, Fynn Jamal secara tiba-tiba trending di Twitter apabila membangkitkan isu jenayah rogol.
Beberapa pendapatnya telah mencetuskan kemarahan netizen apabila ada yang mendakwa ia agak mengelirukan.