WATCH
Apa kelebihan kereta pacuan roda belakang, kami ada jawapannya.
Seperti pengecas turbo dan supercharger, pacuan roda belakang (RWD) serta pacuan roda hadapan (FWD) juga merupakan topik yang hangat diperdebatkan di kalangan peminat kereta.
Ya, peminat kereta FWD mungkin mempunyai alasan dan sebab tersendiri mengapa kereta mereka lebih hebat.
Namun adalah adil jika kami katakan bahawa kereta RWD lebih diminati ramai kerana ia mempunyai lebih banyak kelebihan.

Di sini kami senaraikan apakah kelebihan-kelebihan itu:
Susunan RWD lebih ringkas – Percaya atau tidak, pacuan roda belakang mempunyai binaan yang lebih ringkas berbanding pacuan roda hadapan, terutamanya jika ia menggunakan ‘solid axle’. Ini sebabnya mengapa kebanyakan kereta-kereta abad ke-20 menggunakan pacuan roda belakang.
Lebih murah untuk diselenggara – Oleh kerana ia mempunyai ciri mekanikal lebih ringkas dengan jumlah komponen yang lebih kecil, ia lebih murah untuk dibaiki jika berlaku kerosakan.
Pecutan lebih baik – Bagi pecutan dari kedudukan pegun, kereta RWD mempunyai kelebihan kerana ketika ia mula memecut, berat akan beralih dari depan ke belakang dan ini akan memberikan lebih cengkaman pada tayar belakang.
Pengendalian lebih baik – Kereta RWD mempunyai prestasi yang lebih baik di selekoh kerana enjin dan transmisinya berada pada kedudukan lebih ke belakang berbanding kereta FWD. Ini secara tidak langsung menghasilkan pengagihan berat yang lebih seimbang. Bukan itu sahaja, kereta RWD juga boleh melakukan aksi ‘drift’.
Tiada ‘torque steer’ – ‘Torque steer’ adalah sesuatu yang normal bagi kereta FWD berprestasi tinggi. Ia adalah keadaan di mana tork menjejaskan stereng dan menyebabkan kereta bergerak ke kiri atau kanan ketika sedang memecut dalam garisan lurus. Kereta RWD tidak mempunyai masalah ini kerana enjin dan stereng tidak terhubung antara satu sama lain.

Bagaimanapun, jangan disangka bahawa kereta RWD tidak mempunyai kelemahan. Umum mengetahui bahawa ia lebih cenderung untuk hilang cengkaman ketika dipandu di atas jalan raya yang basah atau bersalji, walaupun dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang canggih.