Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
HIBURAN

“Apa Yang Dituduh Kepada Saya Sangat Keterlaluan” - Isteri Bertegas Nak Bercerai, Edika Yusof Sedia Untuk Lepaskan

Ainun Md Zooki 23/04/2025 | 05:25 MYT
Kes perceraian pelakon Edika Yusof dengan Nor Hidayah di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur terpaksa ditangguhkan pada 5 Mei depan kerana isterinya berada dalam keadaan tidak suci atau haid.
Menurut Edika, 58, dia terpaksa akur dengan permintaan isterinya yang bertegas mahu bercerai dan enggan mendapatkan bantuan kaunseling untuk menyelamatkan perkahwinan mereka.
"Saya sudah sampai ke tahap reda. Hari ini saya sedia lafazkan talak, tapi dia tak suci (datang bulan).
"Dia sendiri pun tak mahu pergi kauseling, saya dah tak boleh buat apa-apa lagi. Bukan tak pujuk, whatsapp dan panggilan saya tak dibalas.
"Sebenarnya sebelum ini kami belum pernah pergi kaunseling, kita tunggu sahaja 5 Mei kalau itu (cerai) yang dia minta," katanya kepada Gempak.
Mengenai dakwaan punca permohonan diajukan Nor Hidayah dalam perbicaraan tertutup itu, akui Edika tuduhan dilemparkan isterinya hanya teguran biasa namun dianggap sebagai penghinaan.
“Apa yang dituduh kepada saya sangat keterlaluan. Maksudnya, saya cakap lain tapi dia anggap lain. Mungkin saya ada kesilapan sampai dia bersangka buruk. Sebagai suami dan ketua keluarga, saya kena bertegas dalam sesuatu perkara.
"Mungkin dari situ dia pendam lama, saya pula tak perasan dan tak tahu. Rasanya sejak 2022 saya perasan perubahan sikapnya, cuma waktu itu tidak ketara.
"Ketika itu saya jumpa kaunselor untuk mendapatkan rawatan anxiety, pakar maklumkan isteri saya juga patut sama-sama ke kaunseling tapi dia tolak," ujarnya.
Pagi tadi, berlangsungnya sebutan kedua bagi kes permohonan cerai Nor Hidayah yang dibuat pada pertengahan Februari lalu.
Mahkamah menetapkan hari ini sebagai tarikh sebutan semula kes selepas Edika gagal menghadirkan diri dalam prosiding pertama.
Sebelum ini, kisah pasangan tersebut meraih perhatian ramai apabila Edika setia menjaga Nor Hidayah yang lumpuh separuh badan selepas melahirkan anak mereka.