Sejak Isnin lalu, perangai biadab Esra, watak utama dalam drama bersiri I-Tanggang hangat diperkatakan umum. Menurut penonton, Esra terlalu dimanjakan dan cara dia berkomunikasi dengan ibu dan bapanya juga tidak boleh diterima akal.

Esra lakonan Emma Sofia, enggan pergi ke sekolah. Menurut Esra, tiada apa yang dipelajarinya di sekolah bermanfaat dan berguna memandangkan dia begitu mengimpikan kerjaya sebagai seorang pempengaruh di media sosial. Ibu (Emelda Rosemila) dan bapanya (Wan Raja) buntu melihat perangai anak tunggal mereka.

A post shared by Emelda Rosemila (@emeldarosemila)


Kita kerap mendengar mengenai sikap anak-anak yang degil dan biadab bukan? Tapi apakah puncanya?

BACA: “Kenapa Rasa Ringan Je Tangan Nak Lempang Si Esra Ni?”- Penonton Mula Naik Hantu Tengok Perangai Anak Biadab Dalam I-Tanggang

Menerusi perspektif Pensyarah Kanan Dan Pakar Psikiatri Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, Dr Aida Syarinaz Ahmad Adlan, pembentukan peribadi seorang anak banyak dipengaruhi oleh parenting style atau gaya keibubapaan sesebuah institusi keluarga.

Menurut beliau, terdapat empat gaya keibubapaan mengikut deskripsi seorang pakar psikologi perkembangan, Dr Baumrind.

“Empat gaya tersebut adalah authoritarian iaitu mementingkan disiplin yang kuat tanpa mengira kehendak anak; permissive atau indulgent yakni terlalu memanjakan dan membiarkan anak membuat keputusan sendiri.

A post shared by Wan Raja (@wanraja)


“Selain itu, uninvolved pula apabila ibu bapa tidak terlibat dalam pembesaran anak-anak dan terakhir, authoritative iaitu ibu bapa yang mendengar kehendak anak dan membimbing anak dalam membuat keputusan,” katanya kepada Gempak.

Menurut Dr Aida, ibu bapa Esra dalam drama I-Tanggang digambarkan mengguna gaya permisif iaitu terlalu memanjakan anaknya.

“Hal ini berlaku kerana mungkin mereka terlalu sayangkan Esra. Namun, seorang anak perlu dibimbing oleh ibu bapa yang sepatutnya lebih matang, bagi pembentukan peribadi yang baik dan stabil.

“Sekiranya pembentukan peribadi sedari kecil tidak berjalan dengan baik, ada kecenderungan untuk anak itu mempunyai masalah kecelaruan personaliti,” katanya lagi.

I-Tanggang mengisahkan tentang Khalil Rayyan atau Khay, penghidap kanser yang memerlukan kerusi roda untuk bergerak. Erma, ibu kepada Khay pula merupakan seorang influencer (pempengaruh) media sosial, penulis buku dan penjual minyak aromaterapi yang berjaya.

Konflik tercetus apabila Khay bertemu dengan dua rakan virtualnya, Royal-E (Esra) dan CapeqRyder (Syafiq) lalu menubuhkan kumpulan sembang ‘I-Tanggang’.

Dilakonkan oleh Faizal Hussein, Sherie Merlis, Danish Hazriq, Nadhir Nasar, Emma Sofia, Emelda Rosmila, Wan Raja, Zarina Zainuddin, Sofia Jane dan Andy Teh drama I-Tanggang disiarkan setiap Isnin, bermula 13 September 2021 pukul 9 malam di Astro Citra.