Ara Johari Pelik Kenapa Ramai Dakwa Dirinya Semakin Kurus
Asyikin Mayudin
24/05/2024 01:55 MYT
24/05/2024 01:55 MYT
Penyanyi Ara Johari mengakui teguran terhadap badannya yang dikatakan kelihatan semakin kurus sedikit sebanyak memberi tekanan kepadanya.
Dilihat Semakin Kurus
Bagaimanapun, Ara memberitahu dia tidak mengetahui punca orang berkata badannya semakin kecil memandangkan beratnya masih sama sahaja.
“Saya timbang, berat saya masih sama saja… saya tak tahu kenapa orang cakap saya makin kurus. Sebab saya ini mungkin genetik juga, sebab keluarga saya semua kecil.
“Untuk naikkan berat badan saya sangat susah, tapi sekali naik sangat senang untuk turun semula. Jadi, bila orang cakap saya makin kurus, beri tekanan kepada saya untuk naikkan berat.
“Tapi saya dah cuba, tetap tak boleh. Cuma, sekarang berat badan saya masih sama, BMI pun normal saja. Selagi normal, saya tak ada masalah,” katanya kepada Gempak.
Pakai Pendakap Gigi
Namun Ara beranggapan kemungkinan wajahnya yang kelihatan sedikit cengkung disebabkan dia kini memakai pandakap gigi atau braces.
“Mungkin juga (faktor braces) sebab orang cakap bila pakai braces muka jadi cengkung… jadi, mungkin sebab itu juga (nampak kurus),” ujarnya.
Kurang Keyakinan Diri
Dalam pada itu, penyanyi lagu Delulu ini mendedahkan dia memakai pendakap gigi disebabkan mempunyai masalah kurang keyakinan diri.
“Saya ada masalah kurang keyakinan disebabkan gigi bawah, sebab setiap kali menyanyi akan nampak. Kalau ditemu bual pun, akan nampak. Saya rasa lebih baik pakai la.
BERITA TRENDING: Delulu Bukan Lagu Ara Johari Sindir Sesiapa! - "Ia Bawa Mesej Ringan, Sekadar Hiburan"
“Mulanya nak pakai bawah saja, tapi doktor kata lebih baik pakai dua-dua supaya pergerakan sama. Tapi saya pakai pun sebab diri sendiri, tak pernah diejek la. Lebih kepada untuk keyakinan diri sendiri.
“Boleh tambah keyakinan pada diri kita la… tapi belum lurus lagi, belum yakin. Saya pakai pun tak lama, paling lama pun dalam dua tahun saja,” kongsinya lagi.