Tiga penyanyi rap wanita Arabyrd, Hullera dan Sophia Liana telah bergabung secara kreatif dalam single rap terbaharu berjudul ‘Hal’.

Ciptaan Arabyrd, Hullera dan Sophia Liana sendiri, lagu ini telah mendapat sentuhan dan olahan magis DJ tempatan dan penerbit muzik, DJ Ziqq dan penyanyi rap serta komposer terkenal, SonaOne.

Ketiga-tiga mereka telah bersepakat untuk berkarya secara kolektif apabila Arabyrd selaku pencetus idea menyatakan hasrat beliau untuk bekerjasama dalam sebuah single.

"Saya lihat semakin ramai penyanyi rap wanita tanah air yang muncul di persada muzik lokal dan ini merupakan suatu perkembangan yang sihat.

"Tatkala itu, saya mengambil kesempatan ini untuk berkolaborasi bersama Hullera kerana beliau masih muda dan sangat berbakat, manakala Sophia Liana merupakan penyanyi rap daripada kumpulan De Fam yang sudah berpengalaman dan disegani," kata Arabyrd.

Bercerita mengenai maksud disebalik single ‘Hal’, Hullera menjelaskan mereka mempunyai mesej tersendiri.


"Single ‘Hal’ membawa mesej memperkasakan wanita di mana setiap hari kaum hawa berdepan dengan pelbagai cabaran dan perlu berdikari.

"Wanita harus berani dalam menjalani kehidupan sehari-hari, selain itu kita juga perlu berdiri di atas kaki sendiri dan jangan ambil peduli dengan apa orang luar kata tentang kita selagi kita tidak buat ‘Hal’," kata Hullera pula.

Dalam pada itu, Sophia pula mempunyai pendapat tersendiri mengenai single terbaru ini.

"Setiap seorang daripada kami diberi kebabasan yang sepenuhnya dalam meluahkan setiap ‘Hal’ dalam single tersebut.

"Peluang bekerjasama bersama Arabyrd dan Hullera merupakan pengalaman sangat berharga kerana banyak yang kami belajar selain bertukar-tukar pendapat sewaktu proses rakaman sedang berlangsung," kata Sophia.

Mereka berterima kasih kepada Loka Entertainment kerana mempercayai ‘Hal’ dan berharap agar penggemar muzik bergenre hip hop di luar sana dapat menerima hasil karya mereka bertiga.


Video muzik rasmi 'Hal' akan dilancarkan pada 27 Mac 2020 dan diterbitkan oleh Gushcloud Malaysia, Amar Halim dan Zakwan Azizan, dan diarahkan oleh Atong dan Bibo.

‘Hal’ boleh dimuat turun di iTunes dan boleh didengari melalui penstriman atas talian seperti Raku, Spotify, Joox dan Apple Music.

Video lirik dan muzik single ‘Hal’ ini juga boleh di tonton di saluran Youtube.