BERITA

Arah ‘Clearkan’ RM1 Juta Elak Disita SPRM, Syed Saddiq Bersubahat Pecah Amanah - Pendakwaan

Gempak 17/04/2025 | 07:25 MYT

Pihak pendakwaan dalam rayuan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bagi mengetepikan sabitan bersalah serta hukuman, atas empat kes berkaitan dana Armada, memberitahu Mahkamah Rayuan di sini pada Khamis bahawa Ahli Parlimen Muar itu bukan dituduh atas kes pecah amanah.

Sebaliknya, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, Syed Saddiq, 33, didakwa bersubahat dengan Penolong Bendahari Armada Bersatu yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta untuk melakukan pecah amanah.

Ketika hujahan di hadapan panel tiga hakim, Wan Shaharuddin berkata, bekas Menteri Belia dan Sukan selaku perayu didakwa bersubahat dengan cara mengarahkan penolong bendahari parti ketika itu, Rafiq Hakim Razali, 35, untuk melakukan jenayah berkenaan.

Menurutnya, terdapat keterangan yang menunjukkan perayu telah mengarahkan Rafiq yang juga saksi pendakwaan ke-13 (SP13) untuk mengeluarkan wang RM1 juta tersebut pada 6 Mac 2020.

“Perayu mengarahkan SP13 untuk ‘clearkan’ wang itu dan terdapat keterangan yang menunjukkan dia menyuruh bekas Exco Armada Bersatu, Abdul Hannaan Khairy, 32, dan seorang lagi saksi untuk meletakkan tarikh yang salah, pada resit dan sebut harga pada 2 Jun 2020.

“Menerusi perbualan telefon, perayu juga meminta SP13 untuk ‘clearkan’ wang yang disimpan dalam akaun bank parti itu, kerana khuatir ia akan disita oleh pihak SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).

“Semasa disoal-balas, SP13 turut memberitahu mahkamah bahawa maksud ‘clearkan’ ialah tidak menyimpan wang di rumah,” katanya.

Beliau berkata, semasa pemeriksaan utama, SP13 memberitahu bahawa perayu menyuruh wang itu dikeluarkan melalui akuan parti kerana perayu memaklumkan bahawa wang itu merupakan hasil titik peluhnya sendiri.

Susulan itu, Wan Shaharuddin menghujahkan bahawa pihak pembelaan telah memanggil semua saksi untuk membuktikan setiap pertuduhan kerana kesalahan bersubahat adalah berdasarkan arahan perayu.

Beban yang perlu dibuktikan oleh pihak pendakwaan, katanya, hanya perlu ditunjukkan berdasarkan perayu mengeluarkan arahan ke atas SP13 sahaja dan tidak lebih daripada itu.

Seterusnya, beliau berkata, pihak pendakwaan hanya bertujuan untuk menunjukkan bahawa perayu mengeluarkan arahan tersebut merupakan suatu jenayah.

“Oleh itu, saya menghujahkan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi telah mensabit dan menjatuhkan hukuman berlandaskan undang-undang serta keterangan yang betul.

“Tiada kekhilafan di pihak hakim dalam membuat pertimbangan sehingga membawa kepada salah laku keadilan yang memerlukan campur tangan Mahkamah Rayuan.

“Justeru dengan itu, kami memohon agar sabitan terhadap pertuduhan subahat pecah amanah ini tidak diganggu,”.

Wan Shaharuddin menghujahkan demikian sambil menambah bahawa hukuman dua sebatan terhadap Syed Saddiq adalah munasabah kerana tertuduh masih muda atau tidak melebihi usia setengah abad.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin bersambung dengan hujahan bagi tiga lagi pertuduhan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Farah Ezlin Yusop Khan.

Ia membabitkan satu kes menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 dan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000.

Pada 9 November 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan serta denda RM10 juta selepas mendapati ahli politik itu bersalah atas empat pertuduhan melakukan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang berkaitan dana Armada.

Syed Saddiq kemudiannya memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dengan mengemukakan 18 alasan dalam petisyen rayuannya supaya dibebaskan daripada empat kes itu serta mengetepikan hukuman terbabit.

Prosiding rayuan ini merupakan peringkat kedua pengadilan, yang mana sekiranya dia didapati kekal bersalah, Syed Saddiq masih boleh membuat rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan.

Bagaimanapun jika panel hakim menbenarkan rayuan anak kelahiran Johor Bahru itu dengan mengetepikan Mahkamah Tinggi, maka dia akan dibebaskan serta-merta daripada pertuduhan berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada Bersatu yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini, pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebat dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Sumber: Sinar Harian

#SPRM #Syed Saddiq #amanah #Pecah