Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Ardell Bawa Dua Buah Bot Hantar Bantuan Banjir Di Pantai Timur

Fiza Kamarudin
02/03/2022 13:40 MYT
Pelakon Ardell Aryana bersama pasukannya kini berada di Terengganu untuk menjayakan misi bantuan banjir di pantai timur.

Menerusi laman sosial Instagram suaminya Nadzmi Adhwa, Ardell dan pasukannya akan bergerak ke Kelantan selepas urusan di Terengganu selesai.

Difahamkan dalam misi bantuan ke Pantai Timur itu, Ardell membawa dua buah bot untuk meranduk banjir.

Dalam perkembangan terkini menurut Ardell, bantuan yang diterima penduduk setempat yang terjejas akibat banjir sangat sedikit.

“Bantuan sangat kurang di daerah #pantaitimur. Tidak sama seperti Kuala Lumpur dan Selangor sebelum ini.

“Kami yang pertama masuk ke dalam kampung ini, kata pakcik. Memandangkan untuk masuk memerlukan kerja yang banyak.

“Setiap tempat jauh-jauh dalam banjir. Semoga kita sama-sama bantu mereka, stay strong orang pantai timur,” katanya.

Sementara itu menerusi hantaran berbeza di Instagram Story (IG Story) Ardell memberitahu bantuan yang dibawa oleh pasukannya ialah toto, selimut, air mineral, pakaian dalam, kain solat, makanan, susu, lampin pakai buang bayi dan dewasa.

Ardell juga memohon orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan supaya berbuat demikian dengan menyalurkan wang tunai ke akaun Maybank: 574810524515.

Terdahalulu Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan bencana banjir yang berlaku di Kelantan dan Terengganu sejak minggu lalu akan berlarutan bagi beberapa hari lagi.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, air banjir yang melimpah memerlukan tempoh untuk surut atau mengalir ke hilir sungai dan seterusnya ke laut.

Faktor banjir ketika ini adalah berpunca daripada luruan monsun berserta sistem cuaca tekanan rendah di Laut China Selatan menyebabkan hujan berterusan di negeri-negeri pantai timur Semenanjung.

#Ardell Aryana #Kelantan #Banjir #Terengganu #Pantai Timur Banjir
;