"Are You Muslim? Nope. I'm Malaysian" - 2018 Tahun Ketujuh Soo Wincci Berpuasa

Amri Hassan
Mei 14, 2018 09:43 MYT
Biarpun kini berada di Sepanyol untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Muzik, penyanyi dan pelakon Dr. Soo Wincci tetap meneruskan aktiviti berpuasa tahun ini.
Mula berpuasa sejak tahun 2012, tahun ini merupakan tahun ketujuh bintang filem Kau Yang Satu itu turut berpuasa.
Menerusi entri di Instagramnya semalam, Wincci memuat naik juadah berbuka selepas lebih 16 jam berpuasa.
"Selamat berbuka dari Sepanyol, Wincci kena mula berpuasa beberapa hari lebih awal di Sepanyol supaya badan Wincci dapat menyesuaikan diri dengan jadual waktu berpuasa yang panjang," tulisnya.
Menerusi ruangan komen, Wincci dihujani pelbagai ucapan tahniah dan tips untuk berpuasa dalam tempoh melebihi 16 jam.
Aktiviti berpuasa Wincci turut mendapat perhatian netizen yang bertanyakan agama anutannya.
Wincci bagaimanapun hanya menjawab dirinya sebagai rakyat Malaysia tanpa prejudis bangsa atau agama.
"Are you muslim?," soal salah seorang pengguna.
"Nope. I'm Malaysian," jawab Wincci.
Wincci beberapa hari lalu turut memuat naik tarikh berpuasa di kawasan Valencia, Sepanyol.
Wincci yang sebelum ini sudah memperoleh Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pengurusan Perniagaan daripada Open University Malaysia (OUM) pada 2016 dan kini menyambung PhD kedua dalam bidang muzik.
Teks oleh: Amri Hassan
Foto: @dr.soowincci
#Puasa #Dr. Soo Wincci #Sepanyol