Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Argentina Berkabung Tiga Hari Mengenang Pemergian Maradona

Fiza Kamarudin
26/11/2020 15:00 MYT
Argentina berkabung atas pemergian legenda bola sepak Diego Maradona yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada Rabu.

Presiden Argentina, Alberto Fernandez mengisytiharkan tempoh berkabung selama tiga hari buat negara tersebut.

Fernandez dalam satu temu bual bersama-sama surat khabar tempatan (Clarin) berkata, beliau berasa amat sedih atas pemergian bekas kapten Argentina itu.

“Saya tidak dapat mempercayai berita itu. Saya sangat sedih.

“Ia adalah berita yang amat buruk buat peminat Argentina.

“Kami amat menyayanginya. Saya akan cuba berhubung dengan keluarganya. Kami sungguh sedih,” katanya.

Maradona dilaporkan meninggal dunia pada Rabu (25 November) di rumahnya di Buenos Aires pada usia 60 tahun.

Mendiang yang diiktiraf sebagai salah seorang pemain terhebat dalam sejarah, menjadi kapten ketika Argentina memenangi Piala Dunia 1986, dengan mempamerkan permainan yang luar biasa.

Terkenal dengan jolokan 'Hand Of God', mendiang juga bermain untuk kelab Barcelona dan Napoli semasa zaman kegemilangannya selain memenangi dua gelaran Serie A bersama pasukan di Itali itu.

Sebelum ini, mendiang menjalani pembedahan bagi mengeluarkan darah beku pada otak awal November lalu, selain pernah menjalani rawatan kerana ketagihan alkohol.

Memetik laporan media antarabangsa, kediaman rasmi presiden iaitu Casa Rosada akan disediakan kepada keluarga mendiang Maradona bagi pengurusan upacara pengebumian negara.

Sebelum ini, tujuh presiden negara berkenaan pernah diberikan penghormatan terakhir mengikut upacara pengebumian negara.

Antaranya ialah Bartolomé Miter, Manuel Quintana, Carlos Pellegrini, Roque Sáenz Peña, Julio Argentino Roca, Marcelo Torcuato de Alvear dan baru-baru ini, Néstor Kirchner pada 2010.

Untuk rekod, dari dunia sukan pula, juara lima kali Formula 1, Juan Manuel Fangio menerima pengebumian negara pada 17 Julai 1995.

Sumber: Astro Awani

#Meninggal Dunia #Legend #Argentina #Maradona #Diego Maradona #RIP
;