Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Ariana Grande Berhenti Lakukan Botoks & Tebalkan Bibir, Rasa Tidak Perlu Berselindung Lagi

Maliah Surip
16/09/2023 14:45 MYT
Penyanyi Ariana Grande membuat pendedahan telah melakukan beberapa siri suntikan botoks dan menebalkan bibir (lip fillers) sejak beberapa tahun lalu.

Namun dia berhenti melakukan kedua-dua rutin tersebut pada tahun 2018 selepas berasa sudah tidak perlu lagi berselindung dengan ‘penampilan palsu’ yang dihidangkan kepada masyarakat sejak dirinya menjadi bintang seawal usia kanak-kanak.

“Saya telah melakukan banyak kali suntikan botoks dan tebalkan bibir sejak beberapa tahun lalu dan berhenti berbuat demikian pada 2018.

“Saya berhenti kerana berasa ia terlalu berlebihan. Saya rasa selama ini menyembunyikan keaslian diri di sebalik solekan atau kosmetik dan kini saya tidak berasa ia perkara yang penting lagi,” dedah Grande menerusi video yang bercakap tentang tips kecantikan di Vogue.

Bintang yang juga merupakan seorang pelakon itu memberitahu selain melakukan botoks dan lip fillers dia turut menyembunyikan wajah sebenar melalui solekan tebal pada bahagian mata dan sering memakai rambut palsu.

Kini pada usia 30, Grande mahu menjadi dirinya sendiri dan tidak bergantung kepada kecantikan kosmetik kerana berasa sudah tiba masanya dia keluar daripada ‘persembunyian’.

Dia juga memilih untuk melakukan rutin ringkas dan tipis dalam setiap solekannya.

“Ia seperti satu rahmat apabila berjaya keluar daripada ‘persembunyian’. Dulu mungkin saya mahu begitu (pakai solekan tebal) tapi sekarang saya sudah tidak peduli lagi,” katanya.

Selain itu pelantun lagu Thank You…Next tersebut juga menyifatkan proses bertambah usia dan menjadi tua adalah sesuatu yang indah.
#Viral #Hollywood #Ariana Grande #Bedah #Botoks #Tebal Bibir
;