VIRAL
"Artis Jangan Lari Daripada Bayar Cukai" - Pesan Siti
Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berpesan dan saling mengingatkan kepada rakan artis agar jangan lari daripada membayar cukai.
Hal tersebut kata Siti boleh mengelakkan diri daripada terjerat dengan pelbagai masalah lain pada masa akan datang.
"Adik-adik semua, senang saja, sebenarnya kita perlu berkomunikasi dengan pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan saya percaya kadang-kadang akan ada satu tahap kita terlepas pandang untuk melakukan tanggungjawab ini.
"Sekarang sudah ada kemudahan secara dalam talian (online) untuk kita melaksanakan taksiran sendiri, cuma perlu ada orang yang tolong ingatkan.
"Sebabnya kadang-kadang mereka tiada masa dan tak terfikir pun soal cukai dan sebagainya," katanya ketika ditemui pada majlis pertunjukan fesyen Creacion & Simplysiti by Siti Nurhaliza 2019 di Malaysian Petroleum Club KLCC, Kuala Lumpur semalam.
Tambah pelantun lagu Anta Permana itu, dirinya sendiri pernah suatu ketika terleka daripada melaksanakan tanggungjawab terbabit namun dia yakin akan wujud persefahaman antara golongan artis dan pihak LHDN seandainya terlupa daripada membayar cukai.
"Suatu ketika saya pun ada terlepas pandang, jadi orang yang berdekatan sayalah yang selalu ingatkan kita untuk buat segala persediaan sebelum kita dapat surat untuk membayar dalam kuantiti yang banyak misalnya.
"Jadi daripada sekarang inilah, kalau ada yang tak tahu nak buat, pergilah ke LHDN dan minta pandangan mereka.
"Pasti mereka akan bertimbang rasa dengan artis-artis ini. Jangan lari daripada LHDN dan selesaikan tanggungjawab kita.
"Kalau betul kita punyai masalah besar kita boleh berunding dari hati ke hati dengan pihak LHDN dan selesaikan dengan cara baik," tambahnya.
Baru-baru ini LHDN mendedahkan lebih 30 artis muda popular yang menikmati pendapatan ratusan ribu ringgit didapati gagal mendaftar sebagai pembayar cukai.
Malah, kurang 10 peratus golongan artis muda mengisytiharkan pendapatan yang diperolehi secara sukarela kepada LHDN.
Must-Watch Video