Hiburan
Artis Naungan Pertama Keluar Album Penuh, Aries Music Nafi Aiman Tino Anak Emas
Aries Music menafikan Aiman Tino merupakan anak emas syarikat rakaman tersebut kerana menjadi artis pertama di bawah naugan mereka yang dihasilkan album penuh.
Pengarah Urusan Aries Music, Dexter Koh berkata Aiman diberi keutamaan untuk menghasilkan album penuh terlebih dahulu kerana dia merupakan ‘anak sulung syarikat’.
“Kami dahulukan Aiman bukan kerana pilih kasih atau Aiman anak emas Aries Music, tetapi kerana dia adalah artis pertama bersama Aries Music.
“Kiranya Aiman ini ‘anak sulung’ Aries Music sebab itu kami hasilkan album Anugerah Terbaik untuk dia.
“Aries Music dalam perancangan untuk menghasilkan album penuh buat Sufian Suhaimi pula dan seterusnya untuk penyanyi-penyanyi lain di bawah naungan kami,” katanya kepada Gempak.
Sementara itu Aiman ketika ditemui berkata, dia sangat berbesar hati kerana mendapat peluang pertama untuk memiliki album penuh.
Menurut Aiman, Anugerah Terbaik merupakan hadiah buat dirinya yang memang mengimpikan untuk memilik album penuh sebagai buah tangan kepada peminat.
“Alhamdulillah, memiliki album sendiri sememangnya menjadi impian setiap penyanyi kan. Sama juga macam saya.
“Album ini hadiah buat diri saya dan buah tangan istimewa kepada peminat yang telah banyak memberikan sokongan kepada saya selama ini.
“Dalam album ini ada sembilan buah lagu hits saya yang telah dirakam sejak tiga tahun berada dalam industri.
“Istimewanya album Anugerah Terindah ialah, dua buah lagu baru berjudul ‘Benci’ dan ‘Dendam Simpati’ turut dimuatkan,” katanya.
Bagaimanapun Album Anugerah Terindah ini tidak dijual di mana-mana outlet tetapi boleh membuat tempahan di dailymotion.com/aries-music atau laman sosial Facebook Aries Music Production dan Twitter @ariesmusicpro.
Nama Aiman Tino mula melonjak naik selepas single pertama berjudul Ku Rela Dibenci dilancarkan pada April 2016.
Muzik video Ku Rela Dibenci kemudiannya diisytihar sebagai pemegang Malaysia Book Of Record selepas mendapat 54 juta tontonan sejak dilancarkan di laman sosial YouTube pada Jun 2016.