Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Berita

Artis Suka Mengaku Diri Jutawan, Ini Pandangan Rosyam Nor

ZULHILMI JALIL 24/09/2020 | 12:02 MYT
Pelakon dan penerbit Datuk Rosyam Nor memberitahu bahawa dia sering melihat dari sudut positif dengan tindakan segelintir artis zaman sekarang yang suka mengakui secara terbuka mengenai status dirinya bergelar jutawan.
Menurutnya, hal berstatus jutawan itu tidak mustahil memandangkan artis pada zaman kini mempunyai pelbagai plaform dalam usaha menambah baik status ekonomi mereka.
"Ada positif ada negatif. Mengaku jutawan ni apa niat dia? Mungkin nak beri inspirasi kepada peminat dengan apa yang mereka usahakan selama ini.
"Lagipun artis sekarang banyak bisnes, dengan beritahu orang begitu, secara tidak langsung, orang nampak daripada hidupnya dulu sukar, sekarang dah jutawan. Saya rasa kita ambil kepada positif sahajalah," katanya kepada Gempak ketika ditemui sewaktu sidang media pelancaran filem Juang di ibu kota baru-baru ini.
Begitupun, menurut Rosyam dia juga mempunyai pandangan tersendiri dengan status sebagai seorang jutawan.
Baginya, status tersebut hanya boleh digunakan sekiranya seseorang itu mempunyai jumlah tunai yang banyak di dalam akaun.
"Artis zaman baru berbeza dengan saya. Mungkin mereka simpan tunai. Saya pula simpan aset sebab suka berniaga jika ada duit.
"Jutawan ni bagi saya kalau ada tunai berjuta-juta. Kalau setakat ada rumah beli harga sejuta ringgit, itu bukan jutawan. Kalau ada tunai empat ke lima juta, itu baru jutawan, " katanya.
Dalam perkembangan lain, kata Rosyam dia bakal muncul dengan filem Juang yang menelan kos sehingga RM6 juta dengan melibatkan tiga syarikat produksi.
Filem Juang bakal menampilkan barisan 100 artis termasuklah pelakon Zul Ariffin dan Zizan Razak.
Menariknya, filem yang mengangkat kisah perjuangan barisan hadapan dalam berdepan pandemik Covid-19 itu mengetengahkan enam orang pengarah prolifik iaitu, Aziz M. Osman, Yusry Abdul Halim, Osman Ali, Eirma Fatima, Kabir Bhatia dan Matt Lai.
Filem yang bakal memulakan penggambaran dalam masa terdekat itu akan menemui penonton di pawagam sekitar awal tahun depan.
#Rosyam Nor #Jutawan
;