"Artis Tak Ada Pencen! Jadi, Saya Harus..." - Tauke

Kamaruddin Razal
Ogos 13, 2019 19:49 MYT
Pelawak kelahiran program realiti Raja Lawak, Tauke atau nama sebenarnya Zamatul Amri Zakaria, 43, mempersiapkan diri untuk menghadapi masa hadapan.
Sedar dengan situasi yang dilalui oleh insan seni, Tauke menjinakkan diri dalam bidang perniagaan sebagai salah satu bekalan masa hadapan.
Baru saja muncul dengan perniagaan makanan berasakan mi segera Indonesia, Tauke mengusahakannya bersama seorang rakan kongsi.
"Saya sudah lama menceburkan diri dalam bisnes. Sebelum ini saya ada menjual produk. Tetapi, ini percubaan pertama saya melibatkan diri dengan bisnes yang berasaskan makanan.
"Peluang hanya datang sekali, jadi bila peluang datang, saya terus sambar. Artis tak ada pencen. Jadi, dari sekarang, saya harus merancang untuk masa hadapan," katanya.
Tauke ditemui di majlis pra-pelancaran gerai Mie Keren di FoodMonger, Tamarind Square, Cyberjaya baru-baru ini.
Menampilkan menu Mie Sedap dan Indomie yang diadun dengan pelbagai perisa, harga yang ditawarkan juga berpatutan, bermula dari RM6 hingga ke RM12.
"Selepas membuat kajian mengenai jenis makanan yang mahu dijual, saya kini mula mengatur langkah melibatkan diri dalam dunia perniagaan makanan dengan memperkenalkan Mie Keren bersama rakan kongsi.
"Menariknya, Mie Keren menyediakan pelbagai seleksi mi segera yang boleh dinikmati dengan sambal yang mempunyai tiga tahap kepedasan berbeza.
"Sambal 'Gegirl' untuk mereka yang suka tahap pedas sederhana, 'Berapi' untuk mereka yang suka pedas dan 'Berahi' untuk mereka yang suka tahap kepedasan ekstra!" katanya lagi.
Untuk anda merasai sendiri kelazatan Mie Keren, kunjungi FoodMonger yang terletak di Tamarind Square, Cyberjaya yang dibuka setiap hari pada jam 3 petang hingga 2 pagi.
#Tauke #Mie Keren