Laman Utama
Aruel Ariel Juara Getaran Jiwa, Kaut RM30,000!
Peserta kelahiran Selangor, Aruel Ariel, 36, melakar kejayaan manis apabila muncul juara Getaran Jiwa yang berlangsung di Stadium MBKS, Kuching, Sarawak pada Jumaat.
Menyampaikan lagu Dimana Kan Ku Cari Ganti dan Gelora menerusi cabaran battle duo bersama Santiana Ramli, Aruel berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 dan trofi.
Tempat kedua menjadi milik Santiana yang menyampaikan lagu Tari Tualang Tiga sekali gus berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 serta trofi.
Advertisement
Afif Tenor pula berpuas hati di tempat ketiga dengan hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 serta RM1,000 menerusi Anugerah GJ Pilihan Jiwa.
Tempat keempat jatuh kepada Ameem,34, dan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000.
Persembahan setiap peserta dinilai melalui sistem pemarkahan yang terbahagi kepada 70% oleh barisan juri profesional dan 30% oleh juri awam yang mengundi di atas talian menggunakan 'Meter Jiwa'.
Persembahan peserta minggu akhir ini dinilai oleh Datuk Nash selaku ketua juri serta Norafizah Busman sebagai juri tetap dan Faizal Tahir selaku juri jemputan.
Sementara itu, pentas akhir Getaran Jiwa turut dimeriahkan dengan kehadiran penyanyi Mas Idayu yang bertindak sebagai Mami Jiwa Panas.
Dihoskan oleh Sissy Imann dan Jiggy, program terbitan TVS dengan sokongan Kerajaan Sarawak ini diinspirasikan oleh karya Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee dan Puan Sri Saloma.
Pada acara final, penonton turut dihiburkan dengan persembahan istimewa oleh Alena Murang, Winnie Albert, Carrie Geres, Safar Ghafar dan Hairee Francis.
Must-Watch Video