"Arwah Alif Pernah Minta Saya Berkerjasama Dengan Ayahnya Tapi..." - Perkongsian Stacy Tentang Anak Nora Ariffin Buat Netizen Sebak!

Hanafis Haris
Disember 28, 2019 08:19 MYT
Penyanyi Stacy Anam berkongsi detik indah ketika dia mengenali anak kedua penyanyi Nora Ariffin iaitu Alif Johan yang meninggal dunia, 14 Disember lalu.
Menerusi satu posting di Instagram, Stacy menjelaskan arwah Alif atau nama sebenarnya Muhammad Syakir Alif Johan, 20, pernah berhasrat untuk dia bekerja dengan ayahnya iaitu Allahyarham Johan Nawawi.
"Dulu arwah Alif masih kecil dia pernah tanyakan hasrat nak saya berkerjasama dengan ayah dia.
"Dia teringin nak dengar kerjasama dalam lagu tapi tidak kesampaian.
"Malah sebelum Alif pergi dia juga pernah cakap teringin nak mama dia (Nora) menyanyi lagu hasil ciptaan Akim tapi tidak berkesempatan.
"Terima kasih Alif dan kakak Nora sekeluarga kerana memberi saya peluang untuk merasa perasaan dihargai itu selama ini," katanya.
Tambahnya, dia juga kini terasa lebih tenang selepas berjumpa dengan Nora secara peribadi.
"Alhamdulillah perasaan rasa lebih tenang lepas dapat jumpa dengan kak Nora tadi.
"Semoga arwah tenang disana dan ditempatkan bersama dikalangan orang-orang yang beriman Aaminn," katanya.
Menerusi ruangan komen ada antara netizen yang mendedahkan mereka rasa sebak serta menangis membaca posting tersebut.
Tidak kurang juga yang memberi kata-kata semangat kepada Nora supaya tabah menghadapi dugaan.
Pada yang tidak tahu, Alif Johan merupakan salah seorang peserta yang tersenarai antara 20 bakal protege program realiti Mentor Milenia 2019.
Walaubagaimanapun, Allahyarham gagal melayakkan diri ke peringkat seterusnya.
Terdahulu, Nora juga telah kehilangan suaminya iaitu Johan Nawawi yang merupakan seorang komposer terkenal pada 24 Mac 2017.
#Viral #Stacy #Nora #Viral