Pelakon Aishah Azman berkongsi berita menyayat hati yang melibatkan kematian bapa saudaranya, Mohd Zaili Mohamad selepas terlibat dalam sebuah kemalangan jalan raya.

Menurut Aishah, arwah telah diseret sejauh 2 kilometer (km) dari lokasi kejadian dengan keadaan mangsa berada di bawah kereta jenis (MPV) yang dipandu pemandu mabuk.

"Kes mabuk langgar lari, minta doakan arwah pakcik saya ditempatkan dalam golongan umat yang beriman, amin. Hadiahkan pakcik saya (Mohd Zaili bin Mohamad). Al-fatihah.

"Ini keadaan ketika arwah pakcik Aishah dilanggar si pemandu mabuk, arwah diseret kira-kira 2 km daripada tempat kejadian.

"Tak dapat dibayangkan betapa seksa arwah ketika ini. Arwah berada di bawah kereta," kongsinya di Instagram (IG).



Ketika dihubungi Gempak, Aishah menyatakan dia mengetahui berita tersebut dalam pukul 1 pagi tadi.

"Saya dapat berita ini dalam pukul 1 pagi. Sekarang ini jenazah berada dalam unit forensik kerana masih dalam siasatan pihak polis.

"Insya-Allah kalau takda aral melintang, jenazah arwah akan dikebumikan malam ini juga atau pagi esok," katanya menerusi kiriman WhatsApp.

Tambah pelakon drama Suri Katriana, arwah adalah antara ahli keluarga yang rapat dengan dirinya.

"Arwah merupakan adik kepada ibu. Jadi dia rapat dengan semua ahli keluarga saya," katanya lagi.



Dalam pada itu, pemilik nama Nor Aishah Afika Azman Shah berharap agar pemandu tersebut akan dikenakan hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

"Aku mohon pada pihak yang berkenaan untuk menjatuhkan hukuman yang setimpal pada pemandu tak bertanggungjawab ni.

"Moga Allah membalas segala apa yang dilakukan oleh pemandu mabuk ni," tulisnya lagi.