Semalam industri seni Malaysia digemparkan dengan pemergian pelawak lagenda, Hamid Gurkha yang telah menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 90 tahun di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Pemergian arwah sudah pastinya dirasai rakyat Malaysia dan anak seni yang lain termasuklah diri Raja Azura sendiri yang terimbau kenangannya bersama arwah pada awal kemunculannya.

“Pertama sekali, pihak gempak sangat beruntung sebabnya saya tak pernah berkongsi hal ini dengan sesiapa pun.

“Kalau anda semua nak tahu, permulaan saya dalam industri ni masa umur saya 13 tahun, orang pertama yang saya berlakon ialah arwah Pak Hamid.

“Ketika itu kami berlakon dalam filem Ragam Pemandu, Pak Hamid jadi watak ayah kepada saya di dalam filem tersebut,” katanya.

Raja Azura turut berterima kasih kepada arwah bapa saudaranya iaitu Raja Ismail kerana menemukan dirinya dengan arwah Pak Hamid.

“Segala dah ditakdirkan, saya bersyukur dan berterima kasih kepada bapa saudara saya kerana pertemukan saya dengan arwah Pak Hamid.

“Banyak kenangan sepanjang kami berlakon sama dan Pak Hamid seorang individu yang sangat baik dan penyayang,” tambahnya.

Raja Azura turut berduka dengan berita pemergian arwah Pak Hamid dan menyampaikan salam takziah buat keluarga arwah.