Berita
"Arwah Tinggalkan Banyak Perkara Untuk Kita Muhasabah" - Tasha Manshahar Menangis Tengok Konsert Tribute Arwah Sandra
Penyanyi Tasha Manshahar mengakui turut merasai kehilangan dengan berita pemergian bintang Big Stage 2020, Sandra Dianne yang meninggal dunia Jumaat lalu.
Biarpun hanya mengenali arwah sebagai rakan industri, kata Tasha, berita kematian Sandra itu benar-benar memberi impak kepadanya.
Bahkan, sewaktu menyaksikan konsert tribute Sandra Dalam Kenangan, kata Tasha emosinya juga dibuai rasa pilu.
"Pernah kenal arwah. Pernah beberapa kali jumpa masa show sama dulu. Tak rapat tapi pemergiannya beri impak yang besar, bukan kepada saya sahaja tetapi ramai orang. Paling tak disangka, yang tak pernah mengenali arwah pun terasa kehilangan.
"Sepanjang menonton #bigstage2020 #sandradalamkenangan, saya betul-betul terkesan. Tak sangka akan sama-sama nangis. Lagi terkesan bila Farisha bagitahu yang sebelum kemalangan, arwah ada tunjuk DM-DM haters hantar kepada arwah dan itu buat arwah sangat down. Sekarang saya tertanya-tanya, bolehkah semua haters itu tidur malam?," coretnya menerusi satu entri di Instgram.
Menurut Tasha lagi, pemergian Sandra itu sebenarnya meninggalkan banyak iktibar kepada kita semua untuk terus bermuhasabah.
"Saya percaya, untuk dia dapat penghormatan sebegini sekali, mudahnya urusan pengebumian dia, pasti ada kebaikan yang kita sendiri tak mampu lakukan. Entah-entah, ada perbualan atau doa dia pada Allah lebih ikhlas berbanding kita. Lebih bersungguh. Lebih tulus. Kita tak pernah tahu.
"Sedih ni bukan sedih yang biasa. Sedih bercampur cemburu. Cemburunya sebab sebegini sekali ramai orang menceritakan kebaikan dia, sedangkan selama ni tak ramai pun perasan kewujudan arwah. Arwah tinggalkan kita dengan banyak perkara untuk kita muhasabah," katanya.
Begitupun, kata Tasha, dia terkilan dengan sikap segelintir pihak yang dengan mudah melontarkan kata-kata tanpa memikirkan sensitiviti.
"Ada benda yang lebih baik kalau disimpan sendiri supaya tak menyakitkan hati. Arwah dah selesai tugas dia di dunia, kita ni? Allah bagi masa untuk kita beringat sebenarnya.
"Kita sendiri pun dah kesuntukan masa. Kenapa bazir buat atau bercakap benda tak berpahala. Apa nak jawab pada Allah dekat sana?," katanya.
Sandra menghembuskan nafas terakhir pada 11 September lalu selepas lima hari bertarung nyawa di hospital akibat kemalangan jalan raya.
Must-Watch Video