"Arwah Yang Bawa Saya Dalam Industri Ini"- Alyah Dedah Ridzuan Hashim Saudaranya
Syafiqah Jalal
06/05/2023 02:39 MYT
06/05/2023 02:39 MYT
Penyanyi Datin Alyah mendedahkan Allahyarham Ridzuan Hashim mempunyai pertalian keluarga dengannya dan merupakan individu terawal yang membantu kerjaya seninya sekitar tahun 2001.
Alyah, 42, berkata, Ridzuan juga pernah menulis lirik lagu berjudul Kita Adalah Kita pada awal kemunculannya sebagai anak seni.
"Saya tak pasti bagaimana pertalian keluarga kami. Apa saya tahu arwah adalah saudara di sebelah arwah bapa saya. Kami memanq sudah lama tidak berjumpa.
"Tetapi arwah adalah antara orang penting ketika awal saya menjadi penyanyi. Arwah hanh bawa saya dalam industri seni ini.
"Malah arwah abang juga pernah berpesan kepada Ridzuan untuk menjaga saya dan dia anggap saya seperti adiknya.
"Arwah Ridzuan antara salah seorang penulis lagu Kita Adalah Kita yang pernah saya nyanyikan di awal kemunculan dahulu," kongsinya kepada Gempak.
Alyah ditemui ketika pengebumian Ridzuan di Masjid Al Muttaqin, Batu 16, Dusun Tua Hulu Langat, semalam.
Tambah Alyah dia terkejut dengan pemergian Ridzuan kerana tidak pernah mengetahui tentang penyakitnya ketika berjumpa kali terakhir sebelum pandemik Covid-19.
"Saya dah lama lost contact dengan arwah sehingga lah kami berjumpa kembali kira-kira tiga tahun lalu.
"Saya tak sangka dia pergi cepat kerana saya sendiri tidak tahu dia sebenarnya sedang sakit," tambahnya.
Ridzuan atau Mohd Ridzuan Hashim, 62, meninggal dunia akibat serangan jantung pada pagi Khamis selepas rebah ketika sedang bersarapan di kediamannya di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.