Asad Motawh Tak Suka Menunjuk-Nunjuk Rumah Sendiri - "Orang Tetap Mengata Saya Acah-Acah..."
Asyikin Mayudin
25/04/2023 07:50 MYT
25/04/2023 07:50 MYT
Masih muda, namun penyanyi dan pempengaruh Asad Motawh sudah memiliki aset sendiri iaitu rumah ketika usianya 19 tahun.
Bagaimanapun Asad berkata dia lebih memilih untuk tidak m enayangkan kemewahan yang dimiliki kerana beranggapan ia bukanlah satu kelebihan.
"Saya mula miliki rumah sewaktu berusia 19 tahun. Apa yang saya miliki hari ini biasa-biasa saja. Mungkin sebab saya mempunyai ramai kawan-kawan artis yang kaya.
"Apabila seseorang itu semakin kaya, semakin sedikit kekayaan yang ingin ditunjukkan kepada orang lain. Saya tak nampak apa-apa kelebihan kalau menunjukkan harta.
“Lagipun kalau saya tunjuk segala aset, nanti orang tetap akan mengata saya acah-acah dan sebagainya," katanya.
Bercerita mengenai sambutan raya, Asad mengakui dia lebih gemar menikmati perayaan Aidilfitri ketika tempoh perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Mungkin pelik bagi segelintir pihak, namun bagi saya beraya ketika masa PKP adalah masa kegemaran saya. Ini kerana semuanya ‘stucked’ dalam rumah yang sama.
“Dan kita berpeluang untuk menjalani ibadah berpuasa dan beraya dari awal sehingga akhir bersama-sama. Sebelum ini, kita tidak dapat duduk semeja kerana tuntutan kerja dan sebagainya.
“Jadi saya betul-betul memanfaatkan PKP. Jika dibandingkan dengan PKP dan beraya dengan keadaan normal, saya jujurnya merindui momen itu. Bagi saya, sambutan raya keluarga saya biasa-biasa saja,” katanya.