Laman Utama

"Asalkan Dia Baca, Saya Syukur" - Daqmie Kirim Mesej WhatsApp Setiap Hari Buat Ali XPDC, Titip Kata-Kata ...

gempak
Amri Hassan
05/04/2022
03:50 MYT
Sponsor Banner
"Asalkan Dia Baca, Saya Syukur" - Daqmie Kirim Mesej WhatsApp Setiap Hari Buat Ali XPDC, Titip Kata-Kata ...
Penyanyi nasyid dan komposer, Daqmie sentiasa bertanya khabar rakan baiknya, Ali XPDC yang kini sedang dirawat di Hospital Rehabilitasi Cheras, Kuala Lumpur akibat kesukaran bernafas sejak tiga minggu lalu.
Kongsi Daqmie atau nama sebenarnya Azmee Abdul Manap, 51, setiap hari dia tidak akan terlepas untuk mengirimkan mesej WhatsApp kepada Ali demi memberikan semangat untuk terus berjuang dan tidak putus asa.
"Saya memang hantar mesej setiap hari kepada Ali di hospital untuk bertanya khabar sebab nak melawat pun tak boleh. Jadi, cukuplah dengan mengirim mesej itu dan tak harap juga dia balas. Pada saya, asalkan mesej itu sampai dan dia pun membacanya, saya bersyukur.
"Saya melihat Ali orang yang kuat semangat dalam perjuangannya. Ia dapat saya lihat sendiri ketika panggilan video dibuat kepadanya sebelum kami menjayakan Konsert Jualan Hitam XPDC 2022 di Warisan Hall Studio, Sijangkang pada 25 Mac lalu.
"Dari atas katil, dia tersenyum dan gembira melihat kami semua dapat berkumpul bersama menunaikan impiannya dan konsert itu memang kami buat untuk dia bagi mengumpul dana membantunya," ujarnya kepada Gempak.
Daqmie ditemui pada majlis pelancaran produk jus kurma Ajwa jenama Barriq di Willow Hall Forest Valley, Kajang, Selangor baru-baru ini. Dalam majlis sama, Daqmie dilantik sebagai jurucakap produk minuman itu.
Sementara itu, pengasas produk jus kurma Barriq, Ahmad Sabri Muhammad, 41, berkata, pihaknya juga sedia membantu kos rawatan pemulihan Ali untuk menjalani rawatan alternatif selepas dia keluar dari hospital nanti.
"Saya akan berbincang dengan keluarga Ali terlebih dulu untuk memohon kebenaran membantu proses untuk pemulihannya secara rawatan alternatif di Johor Bahru dan seluruh kos itu akan saya tanggung.
"Saya berbesar hati untuk membantu Ali sehingga pulih dengan mencuba kaedah rawatan alternatif pula. Bagaimanapun, semuanya bergantung kepada persetujuan isteri, anak-anak dan keluarga Ali," katanya.
Sebelum ini, Ali dikejarkan ke Hospital Ampang pada 4 Mac lalu apabila tiba-tiba didapati tidak bermaya ketika mahu makan selepas selesai berlatih di studio milik pemain bass XPDC, Eddie di Pandan Indah, Ampang.
Ketika itu, Ali bersama XPDC giat berlatih sebagai persiapan untuk Konsert Jualan Hitam 2022 yang sepatutnya berlangsung pada 12 Mac lalu.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live