Pelakon, Ashraf Muslim menggalakkan orang ramai untuk mendaftar sekiranya mahu mengimarahkan masjid dengan menunaikan solat Jumaat.

Ashraf menerusi hantaran di Instagram berkata, dia juga mendapat jemputan untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Mu'adz Bin Jabal di Setiawangsa, Kuala Lumpur selepas berbulan mendaftar.

Katanya lagi, dia tidak akan mempersia-siakan peluang diberikan itu kerana sudah lama tidak menunaikan solat Jumaat.

Alhamdulillah…Dapat peluang mengerjakan solat Jumaat di Masjid Muaz hari ni, setelah daftar untuk solat Jumaat di masjid.

“Takkan ku lepaskan peluang melepaskan rindu solat jemaah di masjid. Bila dah datang awal ni kenalah baca quran dan buat solat sunat banyak-banyak.

“Korang tahu tak betapa seronok dan tenangnya hati ni bila ada kat sini. Allahuakbar! Syukur…

“Siapa yg belum daftar untuk solat Jumaat di masjid pergilah daftar. Kita tak tahu rezeki kita macam mana nanti.

“InsyaAllah Allah akan permudahkan. Hanya yang kita perlu buat usaha, sabar dan berdoa selalu. Oklah nak baca quran sebelum mula khutbah. Salam Jumaat guys!,” tulisnya pada ruangan kapsyen menerusi hantaran yang dibuat semalam (Jumaat).

Pada 8 Julai lalu, Awani melaporkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) membuat ketetapan baharu berhubung had jemaah solat Jumaat, solat fardu dan solat sunat Hari Raya Aidiladha di masjid dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan.

Menurut Pengarah JAWI Datuk Mohd Ajib Ismail, kesemua ketetapan baharu itu telah diperkenan Yang di-Pertuan Agong dan akan berkuat kuasa 9 Julai di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Kawasan yang dibenarkan solat jemaah ini tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD).