HIBURAN

Asia Championship 2025 Tawar Aksi Tinju Moden Bersulam Dunia Digital

Amri Hassan 28/07/2025 | 17:20 MYT
Dunia sukan tempur bakal digegarkan dengan penganjuran Asia Championship 2025 yang dijadualkan berlangsung pada 18 Oktober ini.

Lebih daripada sekadar perlawanan dalam gelanggang, kejohanan ini menjanjikan pengalaman menyeluruh yang menggabungkan aksi lasak dan keterujaan dunia digital.

Menerusi pendekatan baharu yang lebih inklusif dan merentas platform, Asia Championship 2025 bukan hanya menghimpunkan para atlet dan peminat sukan, malah turut melibatkan barisan selebriti dan influencer tanah air yang bakal memainkan peranan sebagai penyeri acara dan penggerak kandungan digital sepanjang kempen berlangsung.

Menurut Penganjur Asia Championship, Datuk Abd Rahman Soltan, kejohanan ini dibangunkan sebagai sebuah platform sukan generasi baharu yang merangkumi elemen disiplin, hiburan dan komuniti.

“Asia Championship bukan hanya medan pertembungan peninju, tetapi sebuah pentas moden yang meraikan semangat kesukanan dalam kerangka digital. Kami mahu mewujudkan budaya baharu di mana sukan bukan sekadar ditonton, tetapi dikongsi, diikuti dan diraikan bersama di media sosial,” katanya.

Tambah beliau, semua peserta bakal menjalani latihan intensif sebagai persediaan fizikal dan mental. Keutamaan bukan hanya diberikan kepada kekuatan dalam gelanggang, tetapi juga nilai-nilai positif yang membentuk karakter atlet masa kini.

Setakat ini, seramai 16 anak muda tempatan telah disahkan sebagai peserta bagi dua kategori utama. Pihak penganjur turut dalam proses menilai penambahan kategori dan membuka ruang kepada lebih ramai penyertaan.

Permohonan masih dibuka kepada mereka yang berminat menyertai kejohanan yang dilihat bukan semata-mata untuk menentukan siapa paling gagah, tetapi siapa yang paling bersemangat dan berdisiplin dalam membawa panji sukan tempur ke tahap yang lebih dihormati.

Asia Championship 2025 bakal mencipta gelombang baharu dengan kombinasi hebat prestasi atlet, sorotan kandungan media sosial, interaksi bersama komuniti dan penampilan ikon-ikon popular masa kini. Ia juga dilihat sebagai langkah penting dalam mengangkat sukan tinju ke tahap lebih dinamik dan mesra generasi digital.

Untuk maklumat lanjut mengenai penyertaan atau pertanyaan lain, boleh menghubungi urusetia menerusi talian +60 11-3336 1885 (Bakhtiar) atau +60 11-3794 3779 (Rey).
#Viral #Digital #Tinju #Asia Championship